
Laporan/foto: Malini Md Yunos, Sapar Sutir (Rembau)/Hasanol Bolkiah Zainal (FAMA Rembau)
REMBAU, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Program My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk membeli barangan pertanian dan hasil laut yang terpilih dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
Menurut Pegawai FAMA Rembau, Hasanol Bolkiah Zainal, program ‘My Best Buy @ Pekan Kota 2020’ tersebut melibatkan 37 tapak perniagaan dengan nilai jualan sebanyak lebih RM19 ribu hasil daripada aktiviti jual beli sepanjang program itu berlangsung.
“Program ini secara tidak langsung membantu rakyat untuk meringankan kos sara hidup melalui penawaran harga barangan segar yang berpatutan selain membantu mereka mendapatkan barangan segar terus dari pihak pengeluar dengan harga promosi,” ujarnya.
Hasanol turut memaklumkan bahawa FAMA Daerah Rembau bakal mengadakan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan juga Jualan Lelong Majlis Daerah Rembau (JLMDR) di Tapak Pasar Tani Pekan Rembau pada 27 Januari ini.
Dalam pada itu, menurut pengunjung program, Syaiful Azman Mohd Zin, 42, beliau sangat berpuas hati dengan harga barangan yang ditawarkan.
“Harga barangan di sini amat berbaloi dan sangat berkualiti, ianya juga banyak meringankan beban saya untuk membeli keperluan dapur setiap bulan,” katanya.
Turut diadakan program Info on Wheel Bantuan Sara Hidup Rakyat 2020 dan e-Tunai Rakyat oleh Pejabat Penerangan Daerah Rembau bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) , Lembaga Pertubuhan Peladang, Pejabat Baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
-AK