
Laporan/ foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Pusat Maklumat Rakyat (PMR) merupakan hub kepada masyarakat setempat yang beroperasi Di Pejabat Penerangan Daerah Kemaman. Fungsinya sebagai ‘focal point‘ dan pusat rujukan yang berwibawa dalam menyampaikan maklumat dan melayani pertanyaan dasar-dasar kerajaan dan juga kenegaraan kepada orang ramai.
Antara perkhidmatan yang disediakan di PMR adalah kemudahan komputer berinternet, bahan-bahan penerbitan dan Poster Yang di-Pertuan Agung dari Jabatan Penerangan Malaysia untuk rujukan dan edaran secara percuma di sini. PMR juga menyediakan kemudahan wi-fi kepada orang awam secara percuma.
Husna Hazirah Mohd Aluwi 28, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, Pusat PMR Kemaman banyak membantu beliau dalam menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarah. Penggunaan komputer dan internet secara percuma sememangnya baik kerana beliau dapat berjimat. Di samping itu juga, lokasinya yang strategik memudahkan beliau ke sini bersama rakan-rakan menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarah.
“Setiap kali cuti semester, saya dan rakan-rakan akan ke sini untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Saya juga menyarankan para pelajar di luar sana supaya turut berkunjung ke sini jika ingin menyiapkan sebarang kerja yang diberikan oleh pensyarah. Selain suasana yang selesa dan berhawa dingin, PMR juga menyediakan ruang untuk kami untuk membuat perbincangan secara berkumpulan tanpa mengganggu orang lain” tambahnya lagi.

Husna Hazirah Mohd Aluwi, pelajar UiTM berharap semoga perkhidmatan diteruskan sampai bila-bila kerana amat membantu golongan pelajar
Nurul Nabilah Aiman Mohd Zaki, 23, yang juga merupakan pelajar UiTM berkata “Saya dan ibu kerap ke sini jika ada kerja yang diberikan oleh pensyarah. PMR Kemaman juga menyediakan alat pencetak kepada kami untuk digunakan jika perlu. Para petugas di sini juga sedia membantu saya jika diperlukan. Selain menyediakan perkhidmatan komputer dan internet secara percuma, para petugas di sini juga tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman bekerja sebagai kakitangan Jabatan Penerangan Terengganu,” ujarnya lagi.

Nurul Nabilah Aiman Mohd Zaki, pelajar UiTM berkata PMR Kemaman berada dalam kelasnya yang tersendiri
Mohd Rozi Hamid, 57, Guru Besar, berkata, ”Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan adalah sesuatu yang sangat positif dalm membantu masyarakat untuk akses internet secara percuma.”
“Era moden kini, internet sangat penting dalam mencari dan menyampaikan maklumat secara cepat. Lokasinya juga dilihat amat sesuai kepada masyarakat untuk ke sini kerana berdekatan dengan bandar di daerah ini. Saya sebagai seorang guru besar menyarankan guru-guru di daerah ini supaya membawa pelajar mereka ke sini untuk membuka minda mereka dalam dunia siber.”

Mohd Rozi Hamid, 57, Guru Besar berkata perkhidmatan yang disediakan amat baik terutamanya kepada golongan kurang mampu
“Saya juga berharap komputer yang terdapat di PMR Kemaman ditambah lebih banyak lagi agar lebih ramai orang boleh menggunakannya dalam satu masa,” tambahnya lagi.
Pusat Maklumat Rakyat Daerah Kemaman beroperasi pada hari bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 5 petang. Adakalanya juga, PMR daerah Kemaman dijadikan Pusat Media terutamanya pada musim tengkujuh sebagai hub kepada wartawan tempatan dan luar menggunakan perkhidmatan yang disediakan di sini.
-ii-