
Laporan/foto: Genda Sating/Mahmud Sulaiman (Kuching)
KUCHING, 18 Jan (Malaysiaaktif) – Rakyat Malaysia digalakkan untuk mengaplikasikan pembayaran secara digital menggunakan e-dompet bagi mewujudkan masyarakat tanpa tunai pada masa akan datang.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata melalui kaedah pembayaran ini, kecekapan dan ketelusan dapat ditingkatkan di samping mengelakkan korupsi kerana sebarang pembayaran berunsur korupsi akan dapat dikesan dengan mudah.
“e-Tunai Rakyat merupakan inisiatif kerajaan bawah Kementerian Kewangan Malaysia dengan melibatkan peruntukkan sebanyak RM450 juta bagi mengalakkan masyarakat mengaplikasikan pembayaran digital menggunakan telefon pintar.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM100,000.00 setahun bagi merebut peluang mendapatkan RM30.00 yang diperuntukkan kerajaan.
“Mereka yang berbelanja menggunakan salah satu daripada tiga pengendali syarikat swasta dilantik iaitu Boost, GrabPay dan Touch’nGo akan menikmati inisiatif ini mulai 15 Januari hingga 14 Mac tahun ini,” katanya ketika sidang media Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di sebuah pusat membeli-belah, di sini malam tadi.
-SH