
PUTRAJAYA, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil langkah perlu termasuk memantau tahap kesihatan komuniti warga China di beberapa lokasi, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ini termasuk melakukan pemeriksaan di kalangan pekerja Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan China Communications Construction (CCC) dengan tiada pekerja disyaki mempunyai simptom 2019 novel koronavirus setakat ini, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco hari ini.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan juga telah dijalankan terhadap 1,400 pekerja dari negara luar yang menaiki kapal di Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kerteh.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menasihatkan rakyat Terengganu agar mendapatkan berita daripada sumber rasmi seperti Kementerian Kesihatan berkaitan jangkitan koronavirus itu.
“Penting juga bagi masyarakat di luar untuk mendengar maklumat yang sahih daripada mereka yang pakar bukannya percaya kepada sesiapa tanpa kepakaran dan pengetahuan,” katanya.
— BERNAMA