
Laporan/foto: Rozer Masudin (Merlimau)
MERLIMAU, 9 Feb(Malaysiaaktif) – Program empat hari Explorasi Budaya UNESCO-Melaka 2020 (EKSCOME 4.0) telah melabuhkan tirainya hari ini sejak berlangsung 6 Feb lalu di sekitar negeri ini sebagai tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengarah Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Rosli Hamid, berkata inisiatif ini dibuat oleh Politeknik Merlimau selepas penganjuran pada tahun 2017 dan ini merupakan kali keempat dilaksanakan dan melibatkan penyertaan daripada 20 buah Politeknik seluruh Malaysia.
“Program ini merangkumi aktiviti seperti bengkel penulisan melodrama, puisi, dondang sayang, pantun, eksplorasi dan jelajah Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO serta melibatkan aktiviti khidmat masyarakat bersama komuniti setempat di negeri ini.
“Antara objektif program memberi pendedahan kepada para pegawai, pensyarah dan yang paling utama untuk para pelajar mengetahui tentang pembangunan kebudayaan yang merupakan agenda nasional dalam mempertingkatkan pendapatan negara melalui sektor pelancongan,” katanya ketika merasmikan perasmian penutup majlis tersebut, di sini hari ini.
Menurut Rosli, program ini juga bertujuan menjalinkan kerjasama bersama agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM) dan beberapa agensi lain.
“Peserta yang terlibat dalam kalangan pelajar Politeknik seluruh Malaysia dan mereka dibawa menjelajah sekitar Negeri Melaka bagi menikmati kesan sejarah penjajahan terdahulu, cara hidup masyarakat Baba dan Nyonya, India Cheetiar, Melayu dan Portugis serta mengunjungi tempat-tempat peranginan yang terdiri daripada tapak warisan dunia,” ujarnya lagi.
-SH