
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Sik)
SIK, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sik, mengusahakan ‘Kebun Dapur’ dengan mngerjakan tanah terbiar bersebelahan bangunan tersebut untuk menjana pendapatan sampingan bahkan turut menjadi terapi serta latihan kepada para pelatih mereka.
Menurut salah seorang tenaga pengajar Noorasmalina Halim, kebun dapur ini diusahakan lebih kurang tiga bulan yang lalu kerana menyedari banyak manfaat yang diperoleh daripadanya.
“Bermodalkan RM300 untuk anak pokok, baja serta peralatan lain, antara tanaman yang ditanam di kebun tersebut termasuklah cili, kubis, terung, pandan, kesum, bayam Brazil, jagung, strawberi serta pelbagai jenis ulam-ulaman.
“Kami turut libatkan pelatih dalam setiap aktiviti pertanian supaya mereka dapat belajar sesuatu dan mempratikkannya di luar sana,” katanya ketika ditemui di PPDK Sik, di sini pagi tadi.
Menurut Noorasmalina, mereka berharap agar pelatih dapat membantu keluarga mencari pendapatan sampingan menerusi aktiviti pertanian seperti ini khususnya pelatih daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Hasil tanaman pula ada yang digunakan sendiri dan dijual di pasar, di mana setiap hasil jualan akan dimasukkan ke dalam tabung pertanian PPDK untuk kegunaan pada masa akan datang.
“Menjadi satu kepuasan dan seronok apabila dapat melihat sayur-sayuran yang ditanam membuahkan hasil serta bebas daripada racun,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Mohd Rafaie Abd Hadi, aktiviti kebun dapur ini juga secara tidak langsung dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan mereka.
“Segelintir masyarakat mungkin beranggapan kami tidak boleh melakukan kerja-kerja seperti insan normal lain, namun di sebalik kekurangan serta keterbatasan ini kami sebenarnya turut mempunyai minat dan kebolehan sama seperti insan lain.
“Apabila melihat pokok-pokok yang ditanam tumbuh subur, ia menaikkan lagi semangat kami,” ujarnya.
-SH