Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Rakyat Sambut Baik Diskaun Tol 18 Peratus

By 4 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Muhammad Arief/ Rosnaniwati Rasidi (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 4 Feb (Malaysiaaktif) – “Penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya di bawah kendalian Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup harian terutamanya pemandu teksi seperti kami. Meskipun baru dilaksanakan oleh kerajaan, namun ia akan memberi kesan yang positif pada masa hadapan dan secara tidak langsung membantu rakyat dalam mendepani belenggu kos sara hidup yang tinggi,” ujar Marappan, pemandu kereta sewa Tanah Rata di sini, semalam.

Pembantu Penerangan Cameron Highlands (kanan) turut serta dalam menghebahkan inisiatif semasa kerajaan.

Pembantu Penerangan Cameron Highlands (kanan) turut serta dalam menghebahkan inisiatif semasa kerajaan.

Menurutnya lagi, usaha kerajaan Pakatan Harapan dalam memeterai konsesi pengurangan kadar tol harus dipuji dan merupakan satu kejayaan buat kerajaan sendiri dalam mengambil langkah ke arah penghapusan tol secara berperingkat, malah ia juga merupakan salah satu manifesto kerajaan.

“Kejayaan ini juga harus disyukuri oleh rakyat dan memberi peluang kepada kerajaan untuk mentadbir Malaysia ke arah yang lebih maju.”

Kerajaan memutuskan bermula 12.01 tengah malam 1 Februari yang lalu, pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya PLUS akan menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus mengikut kelas kenderaan yang telah ditetapkan. Usaha kerajaan dalam kadar penurunan tol adalah untuk manfaat rakyat selaras dengan pengumuman yang dibuat dalam Belanjawan 2020 yang lalu.

Sejajar dengan itu, kerajaan yakin keputusan ini akan memberi banyak manfaat kepada pengguna kenderaan kelas satu iaitu kereta, kelas empat iaitu teksi dan kelas lima iaitu bas melalui pengurangan kadar tol. Tempoh konsesi penurunan kadar tol juga dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 ke 2058.

Pegawai Penerangan Daerah Cameron Highlands, Rosnaniwati Rasidi berkata, inisiatif kerajaan ini disambut baik oleh rakyat terutamanya penduduk di Cameron Highlands.

Selain maklumat tentang Konsesi Penurunan Kadar Tol, bahan penerbitan berkaitan dasar kerajaan turut dipromosikan.

Selain maklumat tentang Konsesi Penurunan Kadar Tol, bahan penerbitan berkaitan dasar kerajaan turut dipromosikan.

“Hasil tinjauan kami pada program Info on Wheels (IOW) hari ini mendapati rata-rata penduduk di pusat pelancongan ini menyambut baik hasrat kerajaan dalam menangani kos sara hidup yang tinggi di daerah ini terutamanya kepada golongan B40, pengusaha teksi dan bas yang sering menggunakan perkhidmatan tol PLUS,” ujarnya.

Menurut Rosnaniwati, usaha menghebahkan tentang kadar penurunan tol sebanyak 18 peratus akan diteruskan agar usaha baik kerajaan ini sampai kepada rakyat dan diterima serta dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

-KN

Tinggalkan komen anda