
Laporan/foto: Nurezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 merupakan sebuah rujukan yang disusun sebagai bekalan untuk kita bersatu padu dalam membangunkan Malaysia ke arah yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Menurut Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal, hala tuju ini menjadikan warga Johor sebagai rakyat yang lebih progresif demi menghadapi gelombang kemajuan semasa.
“Tahun 2020 merupakan tahun bagi mencapai wawasan menjadi negara maju meskipun dunia sedang menghadapi ketidaktentuan dari segi prestasi ekonomi, faktor kesihatan dan juga hal ehwal politik antarabangsa, kita perlu bersyukur kerana Malaysia khususnya negeri Johor tidak berada dalam keadaan yang membimbangkan seperti di beberapa negara yang lain.

Datuk Dr Sahruddin Jamal beramah mesra dengan salah seorang pengunjung yang hadir ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina.
“Perpaduan di Johor telah dibentuk tidak mengira agama, kaum dan budaya melalui elemen kebersamaan iaitu muafakat sejak dahulu lagi di mana kekuatan perpaduan dipercayai terletak pada sikap matang dan rasional setiap rakyat dalam setiap sudut,” katanya sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Johor, di sini baru-baru ini.
Sambutan perayaan ini menjadi platform terbaik membina kerjasama dan tolenrasi antara satu sama lain dalam segenap aspek.
“Perbezaan fahaman, kepercayaan dan agama usahlah menjadi sekatan dan penghalang kepada perpaduan di negara ini,” tambahnya.
Seorang pengunjung Ng Teck Chin, 35, berkata sambutan yang diadakan pada tahun ini agak meriah dan terasa bahang kegembiraannya apabila masyarakat berbilang kaum dapat bersatu di dalam satu majlis secara muhibah.
“Sambutan Tahun Baharu Cina ini turut diserikan dengan pelbagai persembahan antaranya zapin selamat datang, tarian tradisional cina, tarian singa dan banyak lagi,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Pegawai Daerah Muar Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Pegawai Daerah Tangkak, Shafiee Ahmad.
-NI-