
Laporan/ foto: Zanizal Zamani/ Pejabat Kesihatan Daerah SPU (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 2 Mac (Malaysiaaktif) -Seramai 37 peserta dari pelbagai skim jawatan terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat serta Pembantu Kesihatan yang meliputi sebanyak tujuh buah klinik di sekitar Seberang Perai Utara terlibat dalam Kursus MersCoV dan Coronavirus.
Kursus yang berlangsung selama sehari di Klinik Kesihatan Tasek Gelugor diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga kerja kesihatan di barisan hadapan tentang persediaan apabila berdepan dengan pesakit yang disyaki mempunyai simptom COVID-19.
Di antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kursus adalah Taklimat MersCoV dan Corona Virus, ceramah dan kaedah mencuci tangan dengan betul serta taklimat pemakaian ‘Personal Protective Equipment’ (PPE).
Selain itu, pendedahan pengawalan bagi kenderaan yang membawa pesakit dan pengawalan persekitaran bagi mayat pesakit COVID-19 serta tatacara atau kaedah pengambilan sampel yang betul.
Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) dengan kerjasama Unit Inspektorat dan Unit Kesihatan Primer serta Unit Kawalan Infeksi PKD SPU diberikan tangungjawab mengendalikan kursus ini.
Mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 29 kes telah dikesan setakat semalam, 1 Mac 2020.
Setakat ini juga, 22 kes dari 29 kes keseluruhan COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang. Tujuh lagi masih dirawat di wad.
-ii-