Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Zulkifli Othman(Dungun)
DUNGUN, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19, termasuklah inisiatif penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Terengganu.
Yang DiPertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat ketika dihubungi memaklumkan bahawa arahan ini diselaraskan di seluruh daerah di negeri ini oleh Pihak Berkuasa Tempatan berhubung dengan Pengoperasian Premis Perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.
“Hanya aktiviti peniagaan di semua pasar raya, kedai atau premis makanan, termasuk perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu, kedai serbaneka 24 jam, termasuk di stesen minyak, farmasi, kedai ubat, perniagaan jualan bahan mentah seperti ayam, ikan sayur dan buah-buahan dibenarkan beroperasi bermula pada pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang,” katanya.
Tambah beliau, perkhidmatan isian petrol dan diesel dibenarkan operasi pada pukul 7.00 pagi hingga 10.00 malam, manakala semua premis perniagaan, kompleks perniagaan, gerai makan tepi jalan, penjaja beredar, pasar sehari, pasar pagi serta pasar tani tidak dibenarkan beroperasi.
“Arahan ini telah berkuatkuasa sehingga Perintah Kawalan Pergerakan ditarik balik, pengusaha dan peniaga perlu akur dan mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan kepada mereka yang ingkar.
“Kegagalan pematuhan kepada arahan ini merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.
Arahan ini selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Akta Polis 1967 dan tertakluk kepada perubahan dan arahan terkini dari semasa ke semasa.
-ii-