
PUTRAJAYA, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Saingan Liga Super 2020 minggu pertama menyaksikan Perak menerajui takhta liga selepas melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Terengganu FC di Stadium Sultan Zainal Abidin.
Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara perlawanan Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Larkin sekali gus mengutip tiga mata pertama musim ini.
Pertembungan menarik antara Pahang dan Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan, berakhir dengan keputusan 2-1 berpihak skuad Gergasi Merah.
Pasukan Melaka pula tidak berdepan kesukaran untuk menjinakkan pendatang baharu, UiTM FC 2-0 di Stadium Mini UiTM, Shah Alam.
Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Felda United dan PJ City FC masing-masing berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dalam aksi sengit 90 minit.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu lagi pendatang baharu Liga Super, Sabah, mencatat keputusan seri 0-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Keputusan minggu pertama menyaksikan Perak selaku pendahulu liga dengan kelebihan gol diikuti Melaka, Selangor dan JDT sementara Felda United di kedudukan kelima, PJ City FC (keenam), PDRM (ketujuh) dan Sabah di tempat kelapan.
Empat pasukan di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata adalah Pahang (kesembilan), Kedah (ke-10) sementara Terengganu FC dan UiTM FC masing-masing menghuni tempat kedua tercorot liga.
— BERNAMA