Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Solat Jumaat Ditangguh Sehingga 31 Mei – Sultan Selangor

By 13 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penangguhan semua kegiatan di masjid, surau dan musolla termasuk solat Jumaat di seluruh negeri dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda menitahkan langkah-langkah berkenaan diambil sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 berkuat kuasa serta merta.

“Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan solat fardhu serta solat sunat tarawih pada Ramadhan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

“Namun demikian, jika sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

“Setiap rakyat perlulah lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak ini dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap penduduk negeri Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

“Diharapkan tidak ada lagi rakyat negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

“Patuhi peraturan dan arahan kerajaan serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Adalah sangat penting supaya semua perkara-perkara tersebut dipatuhi bagi mengelakkan rakyat daripada berhimpun atau berkumpul supaya  dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” titah baginda.

-NAZ

 

Tinggalkan komen anda