
Laporan/foto: Rozer Masudin (PMM)
MERLIMAU, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) telah menerima pengarah baharu, Mohd Hatta Zainal berkuat kuasa 4 Mei lalu bagi menggantikan pengarah terdahulu Rosli Hamid, yang telah bersara wajib daripada perkhidmatan.
Menurut Hatta, pelantikan beliau sebagai Pengarah PMM yang baharu, ibarat mengimbau kenangan di Negeri Hang Tuah kerana pernah memegang jawatan pengarah di Politeknik dan Kolej Komuniti negeri ini suatu masa dahulu.
“Saya merasa amat bertuah atas pelantikan sebagai pengarah PMM yang keenam. Boleh dikatakan bahawa ramai staf PMM yang saya kenali dan ini memudahkan kerjasama antara saya serta warga kerja PMM sedia ada.
“Malah, saya juga sebenarnya sering terlibat dalam majlis yang dianjurkan oleh PMM sebelum ini” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Tambah Hatta, beliau berharap agar kerjasama berpasukan yang sedia ada dapat diteruskan demi membawa PMM terus gemilang di masa hadapan.
“Perjalanan saya sebagai pengarah amat panjang sebelum ini kerana telah berkhidmat dan berpindah sebagai Pengarah di Politeknik dan Kolej Komuniti selama 13 tahun di serata Malaysia, saya yakin bahawa sekiranya semua pihak bersatu hati tidak mustahil untuk apa sahaja perkara dapat dicapai,” katanya lagi.
Hatta sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi politeknik antaranya Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Pengarah Politeknik Melaka, Pengarah Politeknik Sandakan, Pengarah Kolej Komuniti Teluk Intan, Pengarah Kolej Komuniti Alor Gajah dan Pengarah Kolej Komuniti Jasin. Malah sebelum ini juga, beliau telah berkhidmat di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Putrajaya.
-SH