Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

48 Individu Ingkar Arahan PKPP Ditahan Semalam

By 21 Jun 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengetuai Task Force Operasi Pematuhan telah menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 40 individu telah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10 orang) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38 orang),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, semalam 67,004 pemeriksaan dilakukan pasukan itu bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Selain itu, katanya, 3,744 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan yang melibatkan seramai 16,675 anggota.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PDRM menahan 10 warga asing atas kesalahan imigresen daripada 69 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan telah memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI).

“Operasi Benteng yang melibatkan ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda