
Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)
BESUT, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Ibarat kata pepatah, ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ menggambarkan suasana antara komuniti di sekitar Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut dalam aktiviti gotong royong dengan cara norma baharu.
Aktiviti ini telah dianjurkan bersama oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Alor Jejawi dengan kerjasama pihak Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Besut serta pihak Majlis Daerah Besut bagi mencegah wabak denggi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Komuniti di sekitar Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut dalam aktiviti gotong royong dengan cara norma baharu.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Safwan Mohd Rosli dari Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Besut berkata, program ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan sikap ambil cakna masyarakat untuk memastikan tiada tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan untuk mencegah daripada berlakunya perebakan penyakit demam denggi pada musim COVID-19 ini.
“Pada tahun 2018, terdapat dua kes kematian yang disebabkan demam denggi ini di DUN Kuala Besut dan dikategorikan sebagai Zon Panas iaitu denggi yang berisiko tinggi. Oleh itu, pihak kami telah mengambil tindakan dengan mengadakan aktiviti gotong-royong secara berkala di sekitar DUN Kuala Besut ini sehingga kini,” katanya.
“Pada kali ini, program ini dilaksanakan dengan mengamalkan norma baharu seperti menjaga penjarakan sosial, mengambil suhu, menyediakan pencuci tangan dan mewajibkan memakai pelitup muka bagi setiap peserta yang hadir serta penduduk sekitar dan akan dipantau dan dibantu oleh pihak Pejabat Kesihatan Besut dan Majlis Daerah Besut.
Program ini telah berlangsung di perkarangan kediaman Pengerusi Majlis Pemuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Alor Jejawi, Roslee Hamzah bagi mengelakkan orang ramai berkumpul pada musim PKPB ini.
“Pihak kami telah menempatkan beberapa orang petugas Kesihatan dan petugas dari Majlis Daerah Besut bagi memastikan penduduk di sini melakukan aktiviti kebersihan di kediaman masing-masing.
“Di samping itu, pihak kami juga membekalkan kit denggi kepada seluruh penduduk di sini yang mengandungi plastik sampah, risalah denggi serta COVID-19 dan racun jentik-jentik,” katanya.
Antara aktiviti lain yang turut dijalankan adalah taklimat berkaitan penyakit demam denggi dan wabak COVID-19 oleh Pegawai Kesihatan Epidemiologi Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Muhammad Solehuddin Ishak.
-ii-