
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Salawaty Md Shariff (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Sekolah Kebangsaan Kepala Batas (SKKB) telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan penghantaran tugasan murid melalui kaedah pandu lalu bagi mengumpulkan semua latihan yang telah diselesaikan oleh pelajar-pelajar sepanjang proses belajar dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac yang lalu.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan pembelajaran dari rumah dengan guru-guru diberi pilihan untuk menggunakan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel dengan menggunakan aplikasi seperti Google Classroom, Google Meet, Microsoft Team, Zoom, Telegram dan WhatsApp.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SKKB, Hazlina Harun, pihak sekolah telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kaedah Proses Serahan Latihan Murid semasa tempoh PKP secara pandu lalu dengan pelajar-pelajar perlu mengumpul semua tugasan yang diberikan mengikut mata pelajaran dan menghantar latihan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan berdasarkan kelas masing-masing.
“Proses serahan latihan ini bermula 15 Jun sehingga 17 Jun 2020 dari jam 8 pagi sehingga 12.45 tengah hari.
“Pentaksiran Bilik Darjah akan terus dilaksanakan walaupun tiada peperiksaan dengan para pelajar perlu meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian serta menyesuaikan diri dengan normal baru ini,” ujarnya.
Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara turut sama turun padang mengedarkan risalah serta maklumat mengenai pencegahan COVID-19.
-ii-