Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peluasan Infrastruktur Jalur Lebar Antara Teras Pelan Enam Bulan KKMM

By 18 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: KKMM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Pelan tindakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam tempoh enam bulan akan datang digariskan dalam enam teras termasuk memperluas liputan infrastruktur jalur lebar di kawasan bandar dan luar bandar, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata peluasan liputan jalur lebar itu akan berpandukan kepada rangkaian gentian optik berkualiti tinggi dan menaik taraf atau menghentikan penggunaan tembaga serta peruntukan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang lebih berkesan.

“Ini termasuk memastikan beberapa objektif jangka pendek misalnya capaian Internet dapat ditingkatkan secepat mungkin dan pada waktu  sama memastikan industri telekomunikasi kita lestari dan seimbangkannya dengan kepuasan pengguna,” katanya semasa membentangkan Kad Laporan 100 Hari beliau, di sini semalam.

Saifuddin berkata teras lain di bawah pelan yang selari dengan Pelan Strategik KKMM 2019-2023 itu ialah ekonomi digital; kawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia yang stabil; penyebaran maklumat kenegaraan dan pengukuhan jati diri; perkhidmatan penyiaran dan penerangan; dan industri kreatif.

Di bawah teras ekonomi digital, katanya Pasukan Petugas Ekonomi Digital Malaysia telah dibentuk dan dipengerusikan oleh beliau secara bersama dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

“Antara skop utama pasukan ini ialah aspek digitalisasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penggunaan pembayaran elektronik, inovasi dan teknologi startup, ekonomi gig dan pengembangan bakat dalam teknologi digital dan industri kreatif,” katanya.

Di bawah teras kawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia, Saifuddin berkata akan ada satu atau dua undang-undang berkaitan industri yang mungkin perlu dipinda susulan kajian yang dijalankan KKMM mendapati ada peruntukan yang sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan.

Mengenai pengukuhan jati diri,  beliau berkata sebuah Pasukan Petugas Pendidikan Rukun Negara diwujudkan bagi menerapkan Rukun Negara secara formal dan tidak formal menerusi pelbagai pendekatan dan medium agar dapat dijiwai oleh rakyat secara berkesan dan berkekalan.

Dari segi perkhidmatan penyiaran dan penerangan pula, katanya matlamat KKMM adalah untuk mewujudkan TV Pelancongan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta memantapkan TV Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

“Walaupun TV Pendidikan secara teknikalnya sudah mula menggunakan platform TV Okey dua jam sehari, langkah seterusnya bergantung pada perbincangan dengan kedua-dua kementerian nanti,” katanya.

Di bawah teras industri kreatif pula, Saifuddin berkata Pasukan Petugas Industri Kreatif Malaysia yang dipengerusikannya secara bersama dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri akan menjadikan industri itu sebagai agenda nasional.

“Kebetulannya Banci Penduduk dan Perumahan 2020 akan bermula tidak lama lagi, jadi kita akan mengambil kesempatan ini untuk membuat bancian lebih tepat tentang kedudukan industri kreatif. Kalau boleh kita ingin tahu angka sebenar penggiat industri kreatif,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda