
Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Ahmad Fitri Jasni (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Pembukaan semula sesi persekolahan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan tempoh hari telah bermula hari ini melibatkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.
Sehubungan itu, amalan norma baharu perlu diutamakan oleh pihak sekolah dan pelajar yang terlibat seperti saringan suhu badan di pintu masuk, pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial satu meter serta amalan makan di dalam kelas pada waktu rehat akan menjadi kebiasaan baharu buat para pelajar.
Menurut guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin (SMKTBB) Seri Menanti, Mohd Lestari Mohd Baharum, sesi persekolahan yang dibuka semula hari ini menyaksikan banyak perkara yang perlu dititikberatkan khasnya kepada pelajar.
“Setelah diambil suhu dan memakai pembasmi kuman tangan, pelajar perlu terus ke kelas untuk satu taklimat khas sebelum memulakan pembelajaran dan kami guru-guru akan sentiasa mengingatkan tentang penjarakan sosial, pemakaian penutup muka dan membasuh tangan dengan kerap bagi mengelakkan jangkitan, jika ada pelajar yang tidak sihat kami akan minta ibu bapa atau penjaga untuk menjemput mereka pulang ke rumah dan datang semula setelah sihat,” ujarnya.
Guru bertugas Sekolah Sukan Negeri Sembilan Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba ( SSNS SMK ZA’BA ) Mazlina Ramli, berkata seramai 61 orang pelajar tingkatan lima hadir ke sekolah hari ini dan mereka akan menuntut ilmu dalam suasana norma baharu yang perlu diikuti untuk kebaikan bersama.
“Para pelajar nampak bersemangat hadir ke sekolah pagi ini, walaupun sudah lebih tiga bulan mereka tidak dapat hadir ke sekolah dan kami bersetuju sekolah dibuka bagi mengelakkan pelajar-pelajar kelas peperiksaan tercicir dan menyukarkan mereka untuk menduduki peperiksaan kelak.
“Bagi pelajar asrama pula, sebelum memulakan sesi persekolah pada pagi telah diadakan mengaji Al-Quran secara beramai-ramai dengan menjaga jarak sosial dan ini juga antara norma baharu yang akan dilalui pelajar,” ujarnya.
Sepanjang sesi persekolahan, semua aktiviti adalah dibenarkan kecuali aktiviti berkumpulan atau melibatkan sentuhan seperti sukan, aktiviti bersemuka dan sebarang bentuk perhimpunan sekolah yang melibatkan murid, guru dan warga sekolah yang berkumpul beramai-ramai.
-AK