Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Keunikan Kapal Korek TT5 Jadi Pilihan Lokasi Sukan Kuda Lasak

By 27 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Khairul Nazrie Mat Nayan/Muhamad Amirulfarhan Mohd Daud (Kinta)

BATU GAJAH, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta, Kelab Iskandar Polo dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) menganjurkan sukan kuda lasak yang menjadi tarikan baharu di sini.

Menurut Pegawai Daerah Kinta Halizah Sipun, aktiviti sukan kuda lasak ini biasanya diadakan di Bandaraya Ipoh tetapi untuk penganjuran kali ini ianya diadakan di kawasan Kapal Korek Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5).

“Pertama kali acara ini diadakan di TT5 kerana keunikan pemandangan kapal korek di samping keindahan semula jadi yang ada di sekitar kawasan ini dan secara tidak langsung ia dapat mempromosikan pekan Batu Gajah sebagai tapak warisan pelancongan negeri yang perlu dikunjungi,” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Korporat MB Inc., Siti Kamesah Bee Md Hashim mengucapkan terima kasih kepada PDT Kinta selain rasa bersyukur kerana kawasan TT5 dijadikan salah satu tempat aktiviti untuk sukan kuda lasak.

“Aktiviti sukan kuda lasak ini dijalankan secara santai bagi mengeratkan hubungan sesama ahli Kelab Iskandar Polo.

“Seramai 12 peserta terdiri daripada ahli kelab ini menunggang kuda di laluan sekitar TT5 sejauh 26 km, dan sesiapa yang berminat untuk menceburi sukan lasak ini boleh mendaftar dengan Kelab Iskandar Polo,” katanya.

-SH

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda