Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Lebih 22 Ribu Kanak-kanak di Labuan Divaksin

By 10 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 22,928 atau 71.4 peratus daripada 32,131 orang kanak-kanak bawah 13 tahun diberikan vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) di Labuan sehingga 6 Julai tahun ini.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, jumlah itu melibatkan 19,775 atau 81.5 peratus daripada 24,253 orang kanak-kanak warganegara dan 3,153 daripada 7,878 orang kanak-kanak bukan warganegara.

“Susulan pengesanan virus polio dalam persekitaran, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Labuan menjalankan  Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL) bagi memastikan kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dilaksanakan ke arah Labuan Bebas Polio.

“Kempen ini juga diadakan susulan kejadian wabak polio di Sabah dan hasil aktiviti survelan persekitaran untuk virus polio telah dikesan di dalam sampel air kumbahan yang diambil di WP Labuan dan disahkan oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia,” katanya semasa Majlis Pecah Tanah Kuarters Kakitangan Jabatan Kesihatan, di sini semalam.

Adham (tengah) menandatangani plak perasmian Projek Kuarters Kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan sambil diiringi Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (kiri) dan Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari (kanan).

Adham (tengah) menandatangani plak perasmian Projek Kuarters Kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan sambil diiringi Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (kiri) dan Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari (kanan).

Jelasnya, tiada kes dalam kalangan penduduk Labuan setakat ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan saringan ke atas 41 orang kanak-kanak sihat berumur bawah lima tahun yang dijalankan secara rawak di Labuan.

Jabatan Kesihatan Labuan juga katanya memberikan penekanan terhadap pelaksanaan CAPP iaitu Cegah, Amal, Patuh dan Pantau kepada masyarakat dalam usaha memperkasakan Pengurangan Risiko Daerah COVID-19’ atau dikenali sebagai District Risk Reduction Program (DRRP) COVID-19 untuk mengekang penularan dalam komuniti.

“Program Pengurangan Risiko Daerah COVID-19 akan terus dilaksanakan bagi memastikan Labuan kekal berada di zon Hijau melalui beberapa siri taklimat DRRP yang diadakan kepada semua pemimpin tempatan, ketua jabatan, wakil sektor swasta, institusi pendidikan dan rakan media tempatan.

“Strategi melalui program ini yang menggariskan empat prinsip utama iaitu kawalan di pintu masuk, kawalan pergerakan, penjarakan sosial dan pelindungan diri melalui pembudayaan norma-norma baharu dalam kehidupan warga Labuan yang akan menjadi ‘vaksin terbaik’ dalam memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Adham mengulas pembangunan kuarters itu memberikan manfaat kepada kakitangan kesihatan di Labuan melalui persekitaran tempat tinggal yang lebih selesa dan kondusif.

“Dimaklumkan juga bahawa projek ini merupakan salah satu projek dalam perancangan dan tepat pada masanya untuk menyokong pembangunan holistik di Labuan.

 

“Projek bernilai 27.51 juta dengan keluasan tanah 3.24 hektar itu dijangka siap pada tahun 2023 dengan mengandungi empat unit Kelas D Berkembar, satu Blok F Pangsa lima tingkat yang mengandungi 18 unit serta satu  Blok G Pangsa lima Tingkat sebanyak 16 unit,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda