Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Nabila Agrofarm Tarikan Baharu Pelancongan di Seremban

By 16 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)

SEREMBAN, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Hanya 15 minit perjalanan dari pusat bandar, sebuah ladang tani di Kampung Pantai Seremban, di sini menjanjikan pengalaman berbeza kepada mereka yang berkunjung ke sini.

Nabila Agrofarm yang diusahakan di atas tanah seluas 20 hektar dihiasi suasana kampung mampu memberikan ketenangan kepada pengunjung di samping tarikan utama adalah taman mini haiwan yang menempatkan beberapa jenis haiwan ternakan.

Pengurus Nabila Agrofarm Mohamad Hafiz Sharuddin, memberi jaminan kepada pengunjung haiwan yang terdapat di ladang ini bebas penyakit.

“Nabila Agrofarm merupakan pusat agropelancongan berdaftar dengan Pejabat Vaterinar Daerah Seremban, dan mereka membuat pemeriksaan setahun sekali bagi memastikan haiwan di sini sihat, bebas daripada penyakit serta turut memberikan khidmat nasihat,” katanya yang ditemui di lading tersebut, di sini baru-baru ini.

Aktiviti lasak turut disediakan di ladang ini.

Aktiviti lasak turut disediakan di ladang ini.

Menurut Hafiz, untuk menjadikan perusahaan berbentuk pertanian dan ternakan sebagai produk pelancongan merupakan sesuatu yang tidak pernah berada di fikiran mereka.

“Kami sebenarnya tak pernah terfikir untuk jadikan perusahaan pertanian dan ternakan diusahakan keluarga sebagai produk pelancongan, tetapi apabila melihat konsep agropelancongan kini mula diminati, kami terfikir untuk berkongsi apa yang ada di sini dengan masyarakat,” katanya.

Mula beroperasi sejak dua tahun lalu, Nabila Agrofarm kini mula mendapat tempat di hati pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini seperti berkuda, memanah tradisional, berbasikal, mini ATV serta melawat taman mini haiwan yang sesuai buat seisi keluarga.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Ramlah Abd Rahman, 36, berkata secara dasarnya pengunjung didedahkan dengan pengetahuan bahawa sektor pertanian, penternakan dan perikanan menarik untuk diterokai.

“Pengunjung berpeluang mengikuti aktiviti lasak di sini, bagi mereka yang ingin jalankan aktiviti bajet bersama keluarga, dengan kos yang minima bolehlah datang di sini,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda