Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

PPACCK Dedah Aktiviti Derma Darah kepada Penduduk Setempat

By 27 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Persatuan Pendidikan Akhlak Chin Choo Kor (PPACCK) Kampung Baru Bagan Samak telah mengadakan kempen menderma darah bagi tujuan membantu orang ramai dari segi perubatan dan mendedahkan aktiviti ini kepada penduduk sekitar kawasan sini.

Pengerusi Persatuan Pendidikan Akhlak Chin Choo Kor Datuk Lim Kim Tee, berkata kempen menderma darah kali ini merupakan kerjasama mereka dengan Unit Tabung Darah, Hospital Daerah Kulim dan Pusat Kesihatan Daerah Bandar Baharu.

“Kami merancang kempen menderma darah ini sudah lama iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, namun hanya sekarang boleh dilaksanakan dan tidak disangka ianya mendapat sambutan penduduk.

“Saya berharap kempen derma darah hari ini berjalan lancar dan mencapai sasaran yang diperlukan pihak hospital,” katanya yang ditemui sempena kempen tersebut, di sini semalam.

Kakitangan Hospital Daerah Kulim membuat persediaan awal untuk orang ramai menderma darah.

Kakitangan Hospital Daerah Kulim membuat persediaan awal untuk orang ramai menderma darah.

Seorang penderma darah Mahzan Abdul Manaf, 38, dari Kampung Berjaya, memberitahu niatnya untuk menderma darah adalah untuk membantu orang lain yang memerlukan.

“Tidak salah jikalau kita sama-sama turut membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya yang sudah lima kali menderma darah.

Seorang lagi penderma yang ditemui Yam Choon Hoe, 24, dari Kampung Baru Bagan Samak pula berpendapat, usia bukan penghalang baginya untuk menderma darah bagi membantu atau menyelamatkan nyawa seseorang yang memerlukan bantuan bekalan darah.

“Aktiviti kempen menderma darah seperti ini amat baik kerana sekurang-kurangnya penduduk di sini dapat membantu hospital kerajaan menambah bekalan darah yang tidak mencukupi, dan ianya juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma darah dan membuat pemeriksaan percuma yang diadakan,” katanya.

Kempen yang dianjurkan ini berjalan lancar dan pihak Hospital Daerah Kulim berjaya memperolehi 75 beg bekalan darah.

-SH

Tinggalkan komen anda