Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Prinsip FASTER Azimat Penjawat Awam Kekal Cemerlang

By 26 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Perkhidmatan Awam harus pantas bertindak untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata penjawat awam harus mengenggam erat prinsip F.A.S.T.E.R iaitu Flat, Agile,Streamlined, Tech-enabled, Efficient dan Resilient dalam memastikan penjawat awam dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang dan menjayakan setiap dasar yang dirancang sepenuhnya.

“Setiap jabatan perlu bekerja secara lebih flatter, yakni bersifat terbuka tanpa perlu terikat dengan peraturan-peraturan yang lapuk dan terkongkong dengan pelbagai karenah birokrasi, dan kita juga perlu lebih agile dalam pelaksanaan kerja.

“Maksudnya perlu lebih fleksibel dan responsif dalam pelaksanaan system dan proses kerja. Jangan sengaja lengah-lengahkan sesebuah permohonan oleh rakyat atau pelanggan hanya kerana alasan prosedur dan carta alir kerja semata-mata,” katanya ketika merasmikan Program KSN@Merdeka Bersama Penjawat Awam, di sini hari ini.

Mohd Zuki juga menegaskan, setiap jabatan perlu bersifat streamlined yang lebih adaptif dan sensitif dengan perubahan dan keperluan semasa.

“Dengan situasi pandemik yang masih belum berakhir, kita perlu lebih peka dengan keperluan semasa dan kehendak rakyat dan pemegang taruh. Perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mestilah bersifat tech-enabled yang memanfaatkan teknologi digital serta perubahan zaman yang dikemudi oleh revolusi industri 4.0 dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Setiap pelaksanaan inisiatif mesti dilakukan dengan efisien dan cekap. Dalam keadaan di mana negara masih berada dalam tempoh pemulihan ekonomi, kita tidak mampu lagi untuk melakukan banyak kesilapan kerana setiap kesilapan yang dilakukan bermakna kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan.

“Setiap penjawat awam mesti kekal teguh (resilient) bersama-sama kepimpinan Perkhidmatan Awam untuk merealisasikan strategi yang digariskan kerajaan dan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga, sentiasalah bermusyawarah dan mengambil langkah berhati-hati sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Tinggalkan komen anda