
Laporan/foto: Norhayani Hashim/Mohd Shahir Suid (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Pasar Segar Terkawal (PST) dibuka bermula hari ini bertujuan memastikan bekalan makanan tidak terputus dan mampu menampung keperluan penduduk kawasan Amanjaya yang terjejas ekoran terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (PKPD).
Menurut Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim sepanjang tempoh PKPD dua pasar tersebut dibuka setiap hari Rabu dan Sabtu di kawasan Zon Mawar iaitu di Surau An Nur serta pada hari Selasa dan Jumaat berdekatan Pintu Dua English Country Homes di Zon Kenanga mulai 8.00 pagi sehingga pukul 11.30 pagi.
“PST ini melibatkan seramai kira-kira 25 orang peniaga pasar tani yang akan menjual pelbagai barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, hasil ternakan, hasil laut, buah-buahan, ikan air tawar, barangan runcit dan makanan siap.
“Perlaksanaan pasar segar tersebut dilaksanakan menurut SOP yang telah ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan, penjarakan fizikal dan hanya ketua keluarga diberi kebenaran untuk membeli barangan keperluan di PST,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, pihak polis, jabatan kesihatan dan jabatan penerangan akan sentiasa melaksanakan hebahan maklumat kepada penduduk di setiap lorong kediaman di kawasan PKPD tersebut.
-SH