Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Hayati Pengajaran Peristiwa Hijrah

By 30 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Naim Mohd Shaari (Jempol)/PAID Jempol

JEMPOL , 29 Sept (Malaysiaaktif) – Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jempol mengadakan program Sambutan Maal Hijrah yang telah dirasmikan oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad, di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Seri Jempol.

Menurut Datuk Mohd Yusof, hijrah merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah Islam malah dalam sejarah peradaban manusia keseluruhannya kerana dalam konteks sirah Rasulullah SAW, hijrah bukan saja suatu manifestasi keimanan kepada pencipta, malah merupakan suatu penzahiran dalam usaha membentuk tamadun agung.

“Tanpa peristiwa hijrah, hampir pasti Islam tidak akan sampai kepada kita serta memberi pengajaran terbaik kepada umat Islam dalam menggembeleng usaha untuk melakukan persiapan dan membina kekuatan pada hari ini dan pada masa akan datang,” katanya, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, secara kesimpulannya lima perkara yang perlu dihayati dan diamalkan bersempena Maal Hijrah ini iaitu peristiwa hijrah mengajar kita bahawa agenda agama hendaklah dilakukan secara berstrategi.

“Semua umat berperanan dalam mengembangkan dan mempertahankan kesyumulan Syiar Islam, sentiasa berusaha dan berubah untuk meningkatkan potensi dan pencapaian diri.

“Kita juga perlu berusaha untuk meninggalkan dan mengelakkan fahaman atau pendekatan ekstremis yang terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar dan yang terakhir berazam untuk menyumbang kepada agama dengan penuh rasa ketakwaan, istiqamah dan ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, turut diadakan majlis penyampaian anugerah tanda penghargaan kepada agensi-agensi yang mengetuai tugas-tugas barisan hadapan ketika negara berhadapan dengan wabak COVID-19.

Antara agensi yang menerima anugerah ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Jempol, Hospital Daerah Jempol dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol.

Turut hadir, Pegawai Daerah Jempol dan Ketua-ketua jabatan daerah Jempol.

-AK

Tinggalkan komen anda