Skip to main content
HomePutrajaya

PRN Sabah: ATM Pertingkat Kawalan Keselamatan – Affendi

By 22 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertingkat kawalan keselamatan di Sabah bagi melancarkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan terdapat dakwaan mengenai kemasukan migran dari negara jiran ke negeri di bawah bayu itu.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ATM sentiasa bersiap sedia dalam sebarang situasi serta ancaman yang cuba mengganggu gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara.

“Kawalan persempadanan maritim dan daratan bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara akan terus diperkukuh melalui Op Benteng oleh Pasukan Petugas Kebangsaan dengan ATM serta dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan serta keselamatan yang lain.

“Penglibatan dan kerjasama anggota serta aset-aset dari semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan telah diaturgerakkan secara terancang terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan proses PRN itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas maklumat PDRM mengenai kemasukan besar-besaran pendatang tanpa izin dari negara jiran ke Sabah bertujuan membuat kekacauan pada pilihan raya negeri Sabtu ini.

Affendi berkata masyarakat tempatan disaran agar menjadi mata dan telinga kerajaan kerana kedaulatan negara merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan semata-mata.

“Masyarakat terutama di Sabah digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan maklumat pencerobohan migran dan aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-6251 1223,” katanya.

Bernama hari ini melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya tidak menafikan bahawa ada rakyat negara jiran yang memiliki dua kerakyatan cuba memasuki Sabah untuk mengundi dan membuat kekacauan.

Ahad lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian PRN Sabah, 26 Sept ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda