Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

RM57,000 Kompaun Dikeluarkan, Sembilan Ditahan Ketika Serbuan di ‘Sarang’ Warga Asing

By 27 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengeluarkan kompaun sebanyak RM57,000 dalam operasi bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam Op Sapu semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata pihaknya telah menahan sembilan individu ketika menjalankan operasi berkenaan di 13 premis makanan dan kedai runcit.

“Melalui maklumat dan hasil risikan, seramai 31 penguat kuasa JKNPP bersama 24 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 14 penguat kuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menggempur kesemua premis yang terletak di dalam pusat beli-belah kira-kira 11 pagi tadi (26 September),” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi itu.

Beliau berkata individu yang ditahan itu adalah lapan warganegara Myanmar dan seorang warganegara Malaysia.

“Pemeriksaan mendapati bahawa mereka tiada permit kerja yang sah dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta dokumen di bawah Seksyen 4 Akta Makanan 1983 yang membuktikan bahawa mereka sah menguruskan premis tersebut. Kes ini akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya.

“Kebanyakan premis yang diserbu telah diterajui oleh warga Myanmar. Kebanyakan produk-produk yang dijual adalah dari Myanmar yang melanggar peraturan di bawah kesalahan label,” katanya.

Katanya, sebanyak 21 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 atas kesalahan menjual barangan yang tidak mempunyai label, label barangan tidak mengikut kehendak bahasa yang ditetapkan, tidak menyatakan alamat pengimport di Malaysia dan menjual makanan yang telah luput tarikh.

Tambah Mohd Wazir, sebanyak empat premis makanan telah diarahkan tutup kerana didapati dikendalikan dalam keadaan yang tidak bersih, penemuan lipas dan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid dan tidak menghadiri kursus pengendalian makanan yang melanggar peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Selain itu, beliau berkata barang-barang makanan dan minuman yang dibawa masuk secara haram di sembilan kedai runcit telah dirampas dengan nilai mencecah RM3,860.50. Turut dirampas, minuman keras jenama El Diablo yang telah diharamkan di negara ini.

“Saya berasa sangsi bagaimana produk ini masih boleh berada dalam Malaysia kerana kerajaan telah mengharamkannya. Hasil pemeriksaan selama ini mendapati ianya masih banyak di sini. Kita bimbang kerana jenama ini adalah satu daripada jenama yang dikaitkan dengan keracunan metanol sehingga menyebabkan kematian tahun lepas,” katanya.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda