
Laporan/foto: Zulkifli Othman/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 28 Okt (MalaysiaAktif) – Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Dungun dengan kerjasama komuniti setempat telah turun padang bagi memasarkan maklumat Pembudayaan Normal Baharu Putuskan Rantaian COVID-19 melibatkan peminat sukan badminton di sekitar Dun Sura melalui Program Sepakat Komuniti : Pembudayaan Normal Baharu Putuskan Rantaian Covid19 bertempat di Dewan Bijangga, Sura baru-baru ini.
Bagi peminat sukan badminton Mazalam Awang, 54, sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan membenarkan aktiviti bersukan adalah satu rahmat kerana masyarakat berpeluang meneruskan minat bersukan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Dungun menyebarluas Pembudayaan Normal Baharu Putuskan Rantaian COVID-19 dalam komuniti.
“Kumpulan kami bermain sekadar mengisi masa lapang di samping mengeratkan silaturahim antara komuniti sekitar Daerah Dungun ini, pada masa yang sama kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain dengan pengamalan norma baharu demi kesejahteraan bersama.
“Seruan oleh PPD Dungun kepada komuniti di sini dalam pembudayaan norma baharu amatlah perlu kerana saban hari kian berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 di negara kita dan perkara ini amat membimbangkan rakyat,” katanya.
Manakala Jamil Awang, 48, meluahkan rasa lega apabila dapat meneruskan hobi bermain badminton bersama rakan-rakan.
“Kami berkumpul dengan jumlah yang kecil sahaja. Kami patuh dan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh pihak kerajaan dari awal hingga tamat aktiviti bermain,” katanya.
Dalam pada itu, Jamil turut meluahkan rasa terharu dengan komitmen yang telah diberikan oleh seluruh agensi kerajaan dalam memerangi COVID-19, termasuklah peranan yang telah dimainkan oleh PPD Dungun.
“Sebagai rakyat, kami bersyukur dan berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan agensi-agensi kerajaan yang lain yang tidak putus-putus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat menampal risalah di gelanggang badminton Dewan Bijangga, Sura, Dungun.
“PPD Dungun sering memberi maklumat supaya rakyat sedar dan terdidik dengan pengamalan norma baharu agar rakyat dan mengamalkan rutin baharu dalam kehidupan amatlah perlu dalam usaha mengekang virus ini.
“Usaha Jabatan Penerangan perlu diteruskan untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada rakyat supaya membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
-ii-