Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

Guna Teknologi Secara Bijak dan Beretika

By 5 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

PADANG BESAR, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai pengetahuan tentang tatacara pengunaan internet secara positif dan mendidik anak-anak ke arah yang betul.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Zahidi Zainal Abidin, seminar, kursus dan kempen keibubapaan siber merupakan satu langkah penting bagi memberikan kesedaran dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada rakyat.

“Cabaran dunia dalam talian ini memerlukan kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan dalam menjaga keselamatan masyarakat yang mana kerajaan tidak mungkin boleh mengawasi setiap tindakan yang anda sekeluarga lakukan menerusi dunia dalam talian.

“Kawalan kendiri setiap isi keluarga adalah sangat penting untuk memastikan jenayah siber dapat dibendung dan menjadi hasrat kerajaan agar kita dapat mewujudkan komuniti menggunakan teknologi secara bijak dan beretika,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Keibubapaan Siber anjuran CyberSecurity di Insitut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, baru-baru ini.

Zahidi berkata hasil Kajian Garis Panduan Kesedaran Keselamatan Siber menunjukkan bahawa 50 peratus pelajar sekolah menengah berinteraksi melalui laman sosial tanpa pengetahuan ibu-bapa.

“Seminar ini bertujuan untuk memperkasakan ibu bapa atau penjaga tentang kepentingan keselamatan siber dan memupuk serta menyemai kesedaraan mengenai penggunaan teknologi termasuk peranti digital secara positif, beretika dan bertanggungjawab.

Adalah menjadi hasrat kerajaan agar kita dapat mewujudkan komuniti pengguna internet yang fasih digital yang akan menggunakan teknologi secara bijak dan beretika serta dapat menentukan sama ada sesuatu tindakan serta maklumat itu bermanfaat atau menjadi ancaman kepada diri, keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, berdasarkan sumber Suruhajaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bahawa 94 peratus kanak-kanak terdedah kepada pornografi dalam talian.

“Angka ini sangat membimbangkan kerana walaupun mereka duduk di rumah dengan pintu yang berkunci dan diawasi di depan mata, namun realitinya mereka sedang menjelajahi dunia melalui peranti yang mempunyai akses dalam talian tanpa kita sedari.

“Oleh itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, kita perlu mempunyai pengetahuan tentang tatacara pengunaan internet (termasuk media sosial) secara positif,” ujarnya lagi.

Seminar yang dihadiri oleh seramai 300 orang peserta ini diberi pendedahan oleh sembilan ahli panel yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang keselamatan siber, pendidikan, psikologi dan kewarganegaraan digital.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri) KKMM Shakib Ahmad Shakir, Ketua Pegawai CyberSecurity Malaysia Dr Haji Amiruddin Abdul dan ADUN Beseri Ruzaini Rais.

-NI-

Tinggalkan komen anda