
Laporan/foto: Rozer Masudin/Merlimau
MERLIMAU, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Merlimau (PMM) meneruskan kesinambungan bagi tradisi penganjuran JKE Day seperti tahun-tahun sebelum ini dengan kaedah norma baharu sekali gus dapat meraikan para pelajarnya yang menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi sesi Disember 2019.
Timbalan Pengarah (Akademik) yang mewakili Pengarah PMM Rosita Zainal, berkata penganjuran program secara dalam talian seumpama ini boleh dijadikan contoh ikutan kepada jabatan dan unit lain dalam penganjuran majlis bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Walaupun dijalankan secara dalam talian, JKE Day tetap meriah dan telah berjaya mencapai objektif seperti yang digariskan kerana saya melihat penglibatan dalam program ini hadirnya dari serata negara melalui kaedah dalam talian,” ujar beliau ketika ditemui usai program penutupan di JKE, PMM.

Rosita (dua dari kiri) hadir di Majlis Penutupan JKE 2020 yang diadakan secara dalam talian dan berlatarbelakangkan maya.
Ketua Jabatan kejuruteraan Elektrik Saifful Bahari Omar, pula berkata platform pertemuan perdana tersebut telah mengumpulkan pelajar dan pensyarah secara dalam talian dalam skala yang besar buat julung kalinya oleh JKE.
“JKE Day 2020 yang diadakan selama dua hari bermula 20 hingga 21 Oktober ini merupakan usaha pihak ahli jawatankuasa JKE yang diketuai oleh Pengarah Program Adib Ridhuan Adenan untuk mengeratkan silaturahim antara pelajar.
“Pengisian pada kali ini melibatkan beberapa aktiviti iaitu bagi hari pertama dimulakan dengan Session with Head of Programme, seminar dalam talian, kuiz dalam talian, JKE Innovation Competition, permainan e-Sukan (Mobile Legend dan PUBG).
“Hari kedua diteruskan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan video, pertandingan poster, Final e-Sukan dan diakhiri dengan acara majlis penutupan iaitu meraikan seramai 372 para penerima Anugerah Ketua Jabatan yang mencapai keputusan semester melebihi 3.50.
Dalam majlis penutupan tersebut, Pengarah PMM telah diwakili oleh Timbalan Pengarah (Akademik) Rosita Zainal bersama Ketua Jabatan JKE Saifful Bahari Omar bertempat di Bilik Technology Enable Class Room (TEC), JKE. Suasana bilik TEC tersebut telah diubah suai dengan berlatarbelakangkan tirai hijau bagi memastikan graphic background dapat dilihat secara dalam talian.
-SH