
Laporan/foto: Zayana Isa/Rohani Mohd Saad (Pahang)
KUANTAN, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu menyeru masyarakat khususnya yand berada di DUN Beserah untuk menggalas tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan.
Menurut beliau, masyarakat perlu menghindari diri sendiri serta keluarga daripada penularan virus COVID-19 ini bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian pandemik ini.
“Sebagai masyarakat, kita juga bertanggungjawab untuk menjaga diri kita daripada penularan COVID-19 ini serta menyampaikan maklumat berkenaan amalan norma baharu dalam kalangan mereka,” katanya ketika ditemui dalam program Info on Wheels (IoW) Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19 anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuantan di Sg. Ular baru-baru ini.
Beliau berkata, amalan norma baharu yang perlu dipatuhi oleh masyarakat pada hari ini adalah penting kerana ia dapat membantu mengekang virus ini daripada terus merebak.
“Apabila kita pergi ke kedai misalnya, kita tidak tahu dengan siapa kita berurusan dan mungkin virus itu ada di sekeliling kita, justeru dengan amalan norma baharu misalnya memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, periksa suhu, elakkan bersentuhan dapat mengekang kita daripada dijangkiti,” katanya.
Andansura turut menyeru supaya pemimpin setempat misalnya Pengerusi JKKK memainkan peranan dengan memastikan amalan norma baharu ini dipatuhi oleh penduduk setempat agar pembudayaan norma baharu yang disarankan oleh kerajaan diamalkan sepenuhnya.
-KN