Laporan/foto: Zanizal Zamani/Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
BAGAN, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) Daerah Seberang Perai Utara melalui program hebahan Info on Wheels (IoW) dan Skuad AADK telah berkunjung ke beberapa komuniti baru-baru ini di sekitar Daerah SPU.
Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Seberang Perai Utara Zulkifli Alapitchay, berkata skuad ini dibarisi sukarelawan di peringkat daerah yang akan menjadi mata dan telinga AADK bagi membanteras gejala penagihan serta pengedaran dadah dalam masyarakat.
“Kerjasama dua hala di antara IOW dan Skuad AADK itu telah melakukan edaran poster dan risalah terbitan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan AADK secara bersemuka dengan warga di Daerah SPU dalam usaha memperkasakan jaringan kerjasama komuniti dan memberi penerangan mengenai bahaya dadah kepada masyarakat setempat.
“Program ini dilihat dapat memberikan maklumat kepada golongan yang berisiko tinggi sebagai usaha memberi pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah kepada golongan ini di Daerah SPU,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurut Zulkifly, sukarelawan ini akan terbabit dalam pelbagai program rasmi AADK daerah ini, selain membantu usaha rawatan dan pemulihan untuk penagih yang sudah dikenal pasti.
“Skuad ini berperanan menyalurkan maklumat kepada AADK berkaitan lokasi penagihan dadah, di samping bekerjasama dalam usaha merawat dan memulihkan penagih.
“Amat penting kerjasama dan penglibatan komuniti setempat dengan Skuad AADK supaya mereka dapat memastikan penagih dan bekas penagih tidak tersisih dan boleh merasakan masyarakat masih ada mengambil berat terhadap mereka,” katanya.
-ii-