Skip to main content
HomePutrajaya

Sekolah Wajar Tutup Sementara Waktu, Elak Risiko Penularan COVID-19 – CUEPACS

By 9 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan mana-mana sekolah yang mencatatkan kes positif COVID-19 ditutup sementara waktu bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan sewajarnya.

Presidennya Adnan Mat berkata penutupan sementara itu bagi membolehkan proses mengenal pasti kontak rapat, sekali gus dapat mengelak risiko penularan kepada orang lain.

“Jika sekolah terus beroperasi seperti biasa dengan kehadiran kontak rapat ke sekolah, Ceupacs bimbang ia boleh meningkatkan risiko penularan. (Jika sekolah ditutup buat sementara waktu), kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sekolah dapat dijalankan dengan lebih lancar.

“Penutupan sekolah ini tidak perlu mengambil tempoh yang panjang, cukup sekadar saringan kontak rapat dan kerja-kerja sanitasi selesai dilaksanakan. Langkah ini sudah tentu memberi keyakinan terhadap keselamatan kepada ibu bapa dan warga sekolah termasuk guru-guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan mencadangkan perkara itu selepas beberapa sekolah di seluruh negara mencatatkan kes positif COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.

Katanya adalah membimbangkan apabila sesi persekolahan di sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 tetap berjalan seperti biasa.

“CUEPACS mendapat maklum balas hampir semua sekolah yang merekodkan kes COVID-19 dalam kalangan warganya tidak kira sama ada murid atau guru telah mencatatkan penurunan kehadiran murid yang sangat rendah.

“Kemerosotan kehadiran murid ini berasas kerana ibu bapa sudah pasti bimbang akan keselamatan anak-anak mereka yang mungkin terdedah dengan penularan COVID-19,” katanya.

Pada 7 Okt, Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan kesemua 384 sekolah di Klang, Selangor dan tiga daerah di Sabah iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran yang diklasifikasikan sebagai zon merah COVID-19 ditutup bermula 8 hingga 23 Okt.

Penutupan itu melibatkan 142 sekolah di Klang dan 242 sekolah di tiga daerah berkenaan di Sabah.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda