Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

UDA Lancar Pertandingan Cipta Logo Sempena Sambutan Jubli Emas

By 11 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan ulang tahun ke-50, syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) melancarkan ‘Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50’ dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM25,000.

Pengerusi UDA Datuk Jalaluddin Alias memaklumkan pertandingan tersebut terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan penyertaan mula dibuka pada 10 hingga 31 Okt ini.

“Pertandingan mencipta logo ini membuka tirai sambutan ulang tahun UDA yang ke-50 pada tahun hadapan. Bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas ini, UDA berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan dengan membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

“Selama hampir separuh abad UDA menggalas peranan dan tanggungjawab untuk memaju dan melaksanakan projek-projek pembangunan bandar dan kini UDA setanding dengan syarikat-syarikat pemaju hartanah yang diiktiraf di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemenang bakal diumumkan pada bulan November ini dan pemenang hadiah utama menerima wang tunai bernilai RM10,000, manakala tempat kedua serta ketiga menerima wang tunai masing-masing RM5,000 dan RM3,000.

Selain itu, tujuh pemenang hadiah sagu hati bakal menerima RM1,000 setiap seorang.

UDA turut menggalakkan penyertaan daripada pelajar universiti khususnya pelajar dari bidang seni dan rekaan grafik.

“UDA akan mempromosikan pertandingan tersebut dengan mengedarkan poster hebahan ke universiti-universiti tempatan di seluruh Malaysia.

“Penganjuran ‘Pertandingan Mencipta Logo Bersempena Ulang Tahun UDA ke-50’ juga selari dengan fokus UDA dalam meningkatkan kesedaran ramai terhadap perjalanan UDA dan dalam masa sama memperkenalkan logo UDA yang telah diberi nafas baharu,” menurut kenyataan itu.

Individu yang berminat boleh melayari laman sesawang rasmi UDA (http://uda.com.my) atau platform media sosial rasmi UDA seperti Facebook (facebook.com/UDAHoldings) dan Instagram (uda_official) untuk maklumat lanjut,

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda