Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Elak Jadi Mangsa Penipuan Dalam Talian

By 25 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN 25 Nov (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Kemaman mengambil inisiatif menyampaikan taklimat berkaitan isu penipuan dalam talian kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Pergam dalam memberi penerangan dan kesedaran kepada masyarakat orang asli mengenai permasalahan ini.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Negeri Terengganu Saharrudin Mohamed, dalam ceramahnya di Kampung Orang Asli Sungai Pergam, baru-baru ini menekankan agar Orang Asli di sini supaya sentiasa peka dengan isu semasa terutamanya membabitkan penipuan dalam talian agar mereka tidak menjadi mangsa.

Penolong Pengarah JaPen Terengganu, Saharrudin Mohamed menyampaikan ceramahnya tentang pencegahan penipuan dalam talian.

Penolong Pengarah JaPen Terengganu, Saharrudin Mohamed menyampaikan ceramahnya tentang pencegahan penipuan dalam talian.

Modus operandi penipuan dalam talian kebiasaannya mangsa akan dihubungi kononnya mereka daripada pihak bank atau agensi tertentu dengan mengatakan mangsa mempunyai hutang tertunggak dan perlu dibayar dalam kadar segera walaupun mangsa sendiri tidak pernah berhutang dengan bank tersebut.

“Mangsa turut diugut dengan tindakan undang-undang di mahkamah sekiranya tidak membayar hutang dalam tempoh yang dinyatakan dan mangsa yang dalam ketakutan ataupun panik akan membuat pembayaran seperti yang dimahukan oleh scammer tersebut tanpa bertanya kepada pihak yang lebih arif mahupun menghubungi pihak berkuasa,” katanya semasa menyampaikan taklimat tersebut, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saharrudin turut menyarankan para hadirin yang hadir supaya berhati-hati apabila menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya anggota polis, bank atau mana-mana agensi pihak berkuasa dan sekiranya mereka meminta data peribadi segera matikan panggilan.

Sebahagian orang asli yang hadir pada program tersebut.

Sebahagian orang asli yang hadir pada program tersebut.

Saharrudin juga mengingatkan Orang Asli di sini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar rantaian pandemik COVID-19 dapat diputuskan.

Bagi Amran Putih, 43, Tok Batin Orang Asli Sungai Pergam, berkata program sebegini amat bagus buat dirinya dan semua penduduk dan perlu diteruskan secara berkala untuk memberi kesedaran kepada penduduk di sini.

Tok Batin Orang Asli Sungai Pergam, Amran Putih memberitahu program sebegini amat bagus buatnya dan penduduk di sini.

Tok Batin Orang Asli Sungai Pergam, Amran Putih memberitahu program sebegini amat bagus buatnya dan penduduk di sini.

“Penerangan tentang penipuan dalam talian ini amat bagus kerana masih ramai daripada kalangan kami kurang peka akan isu ini.

“Baru-baru ini, seorang penduduk di sini kerugian sebanyak RM1,500 akibat ditipu dalam talian,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda