
Laporan/foto: Norhafizah Abd Rahim/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 6 Nov (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Terengganu giat melaksanakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19 di negeri ini melalui dua kaedah iaitu ‘Info on Wheels’ (IOW) serta Program [email protected].
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Mohd Nor Hamzah, berkata sejak dua bulan lalu, JaPen Terengganu telah membuat hebahan sebanyak 222 kali IoW di 814 lokasi melibatkan 49,615 orang dan 24 kali [email protected] melibatkan 4,800 orang di lapan daerah yang meliputi keseluruhan lapan parlimen dan 32 Dewan Undangan negeri (DUN) dalam Negeri Terengganu.
“Hebahan IoW ini dilaksanakan melalui pembesar suara dan kekerapan secara purata sebanyak 20 kali sebulan, menerusi Kenderaan Unit Bergerak Jabatan Penerangan dan setiap hebahan IoW, sasarannya adalah 40 hingga 50 anggota masyarakat.
“Manakala Program [email protected] pula melibatkan penyertaan masyarakat setempat dengan kehadiran maksimum 200 peserta, mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan masyarakat setempat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Nor memeriksa suhu badan sebelum majlis pelancaran Pembudayaan Norma Baharu : Putuskan Rantaian COVID-19 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Beliau menambah, antara amalan yang perlu diamalkan oleh masyarakat pada norma baharu ialah mengamalkan tiga W iaitu Wash (kerap cuci tangan), Wear (memakai pelitup muka) dan Warn (amaran agar tidak bersentuhan) manakala tiga S ialah Sesak (elak berada di tempat sesak), Sempit (elak berada di tempat sempit) dan Sembang (elak bersembang dalam jarak dekat).
Katanya, pendekatan yang diambil oleh JaPen Terengganu menggunakan dialek tempatan ketika membuat hebahan telah berjaya menarik perhatian masyarakat setempat dan memudahkan kefahaman bagi mereka menghayati kempen tersebut.

Mohd Nor menggunting gegantung sebagai gimik pelancaran Pembudayaan Norma Baharu : Putuskan Rantaian COVID-19 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Mohd Nor menyeru agar usaha yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan ini disambut dan dipanjangkan oleh agensi dan jabatan, pemimpin masyarakat, para ketua agama, pemimpin NGO dan ahli Jawatankuasa kariah surau dan masjid agar memainkan peranan masing-masing.
“Kita perlu bersama-sama mengingatkan penduduk di kawasan perumahan dan kejiranan masing-masing agar mematuhi segala SOP dan peringatan mengenai wabak COVID-19.”
“Kerjasama yang padu antara kepimpinan masyarakat, agensi dan jabatan, serta kesedaran kawalan kendiri yang tinggi oleh masyarakat baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah mampu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak ini,” katanya.

Mohd Nor menyerahkan gegantung Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19 kepada ketua jabatan pada majlis pelancaran Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19 peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Pada majlis itu, Mohd Nor turut menyampaikan gegantung Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19 kepada ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
Turut hadir ialah Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Yahya Ali, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zainal Abidin Husin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu Dr. Alias Razak dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu Ahmad Ammar Othman.
-ii-