Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Mardi Rangkul Empat Pingat Emas, Satu Perak di ITEX 2020

By 30 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Teknologi dan inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkonsepkan “Dari Makmal ke Meja Hidangan” melakar kejayaan cemerlang pada pertandingan Invention, Innovation and Technology Exhibition 2020 (ITEX 2020) apabila meraih empat pingat emas dan satu perak daripada lima kategori yang disertai.

Mengumumkan kejayaan itu pada sidang media di ibu pejabat MARDI di sini hari ini, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata kemenangan itu dimaklumkan secara maya kepada pihaknya pada 21 Nov lepas.

Inovasi yang merangkul pingat emas ialah Pembungkus Boleh Dimakan Untuk Aplikasi Makanan, Varieti Padi MARDI Sebernas 307, Baka Kambing Baharu Katjang-Boer dan Inovasi Makanan Untuk Penuaan Yang Sihat.

Sistem rendaman berterusan tertutup yang berfungsi sebagai alternatif bagi teknik pembiakan berkesan bagi penghasilan Arundina graminifolia secara massa, pula memenangi pingat perak.

“Kejayaan MARDI ini membuktikan bahawa teknologi dan inovasi yang dihasilkan MARDI yang berkonsepkan “Dari Makmal ke Meja Hidangan” bukan sahaja digunakan oleh golongan sasar malah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai usaha menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Mengenai inovasi Pembungkus Boleh Dimakan Untuk Aplikasi Makanan, beliau berkata ia adalah teknologi filem yang diaplikasi antaranya sebagai bahan pembungkus kiub asam pedas, sarung sosej, bahan pembungkus minuman segera dan bahan pembungkus nasi kerabu segera.

Varieti Padi MARDI Sebernas 307 pula merupakan varieti yang mempunyai hasil yang tinggi sehingga 10 tan sehektar, sederhana rintang terhadap penyakit karah dan benah perang serta mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan racun kawalan kimia.

Baka Kambing Baharu Katjang-Boer adalah baka yang sesuai dengan iklim tempatan, mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap penyakit dan parasit serta prestasi pembiakan dan pertumbuhan yang lebih baik, katanya.

“Untuk Inovasi Makanan Untuk Penuaan Yang Sihat, MARDI berjaya  menghasilkan inovasi makanan yang pertama di Malaysia yang direka untuk mempunyai nutrisi kesihatan untuk golongan tua yang mempunyai tinggi protein, tinggi fiber dan ‘anthocyanins’,” katanya.

Mohamad Roff berkata kesemua inovasi yang memenangi pingat di ITEX 2020 itu telah berjaya dikomersialkan di peringkat pasaran tempatan.

“MARDI sentiasa membangunkan teknologi dalam industri pertanian dan agromakanan kerana menyedari peranan penyelidikan dan pembangunan terhadap sekuriti makanan negara,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda