Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Penduduk Syukur Gajah Liar Dipindahkan

By 30 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Konflik manusia-gajah di negeri Terengganu merupakan antara yang tertinggi di Semenanjung dan kerajaan negeri telah menjalankan beberapa operasi tangkap dan pindah gajah liar yang mengancam dan merosakkan tanaman penduduk di negeri ini semenjak tahun 2018.

Tinjauan di Felda Cerul, di sini mendapati rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa syukur ekoran gajah liar yang sering masuk ke dalam kebun mereka dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah untuk dipantau sebelum kembali dilepaskan di Taman Negara, Pahang.

Foto gajah yang ditangkap.

Foto gajah yang ditangkap.

Nor Milah Abdullah, 55, pengusaha kedai makan, berkata sejak beberapa hari lalu beliau ternampak gajah liar tersebut berkeliaran di pinggir kampung dan situasi itu menimbulkan rasa gusar mengenai keselamatan diri dan penduduk setempat.

“Rasa risau setiap kali terserempak dengan haiwan tersebut, saya khuatir gajah ini datang ke kedai makan semasa ia ‘naik minyak’ tentu berlaku kerosakan pada kedai saya ini.

Nor Milah Abdullah, pengusaha kedai makan, memberitahu ternampak gajah liar berkeliaran di pinggir kampung.

Nor Milah Abdullah, pengusaha kedai makan, memberitahu ternampak gajah liar berkeliaran di pinggir kampung.

“Saya juga risau kehadiran gajah liar ini boleh mengancam nyawa penduduk di sini tapi syukurlah kerana kecekapan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu yang menangkap gajah ini dan dihantar ke tempat yang selamat,” katanya.

Wan Rohani Wan Md Zain, 52, yang ditemui juga bersependapat dengan Nor Milah.

“Setiap kali nak keluar rumah mesti risau terserempak dengan haiwan ini secara dekat dan ini sedikit sebanyak mengganggu rutin harian penduduk di sini.

Wan Rohani Wan Md Zain bersyukur semuanya telah berakhir dan berharap tiada lagi gajah liar yang masuk ke dalam kampungnya.

Wan Rohani Wan Md Zain bersyukur semuanya telah berakhir dan berharap tiada lagi gajah liar yang masuk ke dalam kampungnya.

“Syukur semuanya telah berakhir dan saya berharap tiada lagi gajah liar yang masuk ke dalam kampung kami ini,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah memindahkan seekor gajah liar pada 23 November lalu melalui kerjasama dengan pihak PERHILITAN Terengganu ke Pusat Konservasi Kuala Gandah, Pahang dari Ladang Kelapa Sawit Espek 6, RISDA, Felda Cerul, Kemaman.

Proses pemindahan yang memakan masa lima jam telah disertai oleh 30 anggota Perhilitan Terengganu.

-ii-

Tinggalkan komen anda