Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Permohonan Biasiswa Jepun Program Pemimpin Muda Kini Dibuka Sehingga 18 Disember

By 4 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Permohonan biasiswa kerajaan Jepun (Monbukagakusho: MEXT) bagi Program Pemimpin Muda (YLP) kini dibuka sehingga 18 Disember.

Perkhidmatan Maklumat Jepun Kedutaan Jepun di Malaysia dalam satu kenyataan berkata rakyat Malaysia yang ingin mengikuti kursus peringkat Sarjana di negara matahari terbit itu dipelawa untuk memohon biasiswa dan tambahan elaun bulanan kira-kira 242,000 yen (tertakluk kepada perubahan) akan diberikan sepanjang tempoh pengajian.

“Yuran untuk menduduki peperiksaan kemasukan, matrikulasi dan tuisyen di universiti akan dikecualikan. Tiket penerbangan pergi dan balik juga disediakan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat lima kursus di bawah YLP iaitu Kursus Pentadbiran Perniagaan di Universiti Hitotsubashi; Kursus Undang-Undang di Universiti Kyushu; Kursus Pentadbiran Awam di National Graduate Institute for Policy Studies (GRIPS); Kursus Kerajaan Tempatan di GRIPS dan Kursus Pentadbiran Penjagaan Kesihatan di Universiti Nagoya.

Kursus dijalankan dalam bahasa Inggeris, selama setahun dari Oktober 2021 hingga September 2022, kecuali untuk Kursus Pentadbiran Perniagaan, yang bermula 20 September hingga Ogos 2022.

Antara syarat permohonan ialah warga Malaysia, memiliki Ijazah Sarjana Muda dan untuk Kursus Pentadbiran Perniagaan, pemohon mestilah berumur di bawah 40 tahun pada 1 September 2021; penguasaan bahasa Inggeris yang baik (skor TOEFL minimum 600/skor TOEFL-CBT 250 atau setara) dengan hasil skor GMAT dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman bekerja.

Untuk empat lagi kursus lain, pemohon perlu berumur di bawah 40 tahun pada 1 Oktober 2021; mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik (skor TOEFL minimum 550/skor TOEFL-iBT 80/IELTS 6.0 atau setara) dan memiliki sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman bekerja di pejabat kerajaan.

“Kursus Pentadbiran Kesihatan pula pengalaman kerja diperlukan di Kementerian Kesihatan Malaysia, untuk Kursus Undang-Undang, memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun pengalaman kerja termasuk pengalaman dalam menangani urusan berkaitan undang-undang di Malaysia,” tambah kenyataan itu.

Permohonan boleh dibuat melalui pihak berkuasa Malaysia yang disyorkan, untuk Kursus Pentadbiran Perniagaan, sila hubungi Dewan Perniagaan & Industri Nasional Malaysia di talian 03-6204-9811 atau e-mel ke [email protected] (Cik Annie William).

Kursus Pentadbiran Kesihatan, boleh menghubungi Kementerian Kesihatan di talian 03-88906050/03-88831108 atau e-mel ke [email protected] (Dr Norsyamimi)/[email protected] (Dr. Anisah).

Tiga kursus lain, sila hubungi Jabatan Perkhidmatan Awam di talian: 03-8885-3053 atau e-mel ke [email protected] (Encik Kamarul).

Kursus Undang-Undang, permohonan untuk kakitangan bukan kerajaan boleh dibuat melalui Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di talian: 03-6196 4226 atau e-mel ke [email protected] (Prof Madya Dr. Ramizah Wan Muhammad).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda