Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Wang Dilarikan Semasa Mangsa Tukar Tayar di Lebuh Raya, Dua Warga Asing Ditahan

By 26 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Sebaik sahaja selesai menukar tayar kereta yang bocor di Lebuhraya Persekutuan di sini, seorang lelaki mendapati wang tunai miliknya yang bernilai RM120,000 telah dicuri dari kenderaannya, petang Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata susulan laporan yang dibuat di Balai Polis Pantai, polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 70 tahun, kedua-duanya warga Colombia yang disyaki terlibat, petang semalam.

Beliau berkata dalam kejadian Jumaat, selepas mengeluarkan wang tunai di sebuah bank di Jalan Klang Lama sekitar pukul 3.00 petang, lelaki itu bersama anaknya mengesyaki mereka diekori oleh sebuah kereta berwarna perak semasa berada di Lebuhraya Persekutuan.

Menurutnya selepas mendapati tayar belakang kiri kenderaannya bocor akibat tercucuk besi, lelaki itu berhenti di tepi lebuh raya untuk menukar tayarnya, dan apabila masuk semula ke dalam keretanya, lelaki itu mendapati tunai dan dokumen miliknya telah hilang.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pantai pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

“Bertindak atas maklumat, operasi mengesan kenderaan suspek dijalankan sekitar kawasan Bangsar petang semalam, sebelum kenderaan yang dinaiki dua warga asing itu ditemui. Menyedari kehadiran polis, kedua-duanya meluru keluar dan bertindak agresif untuk melarikan diri sebelum ditahan,” katanya.

Anuar berkata soal siasat mendapati kedua-dua suspek pernah terlibat dalam tiga kejadian lain membabitkan kecurian wang tunai dari kenderaan individu yang baru sahaja keluar dari bank di sekitar Brickfields.

Beliau berkata polis merampas telefon bimbit, dokumen serta sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran yang dipercayai palsu, dan kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, selain kesalahan lain dibawah Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan kecederaan dan khianat terhadap sepasang suami isteri di sebuah kedai runcit Taman Medan, Petaling Jaya, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal dalam satu kenyataan berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 40 tahun yang merupakan isteri dan juga peniaga kedai runcit itu, yang didatangi tiga lelaki warga tempatan menuntut hutang.

“Bertindak atas laporan, polis membuat tiga serbuan berasingan di Petaling Jaya, Klang dan sekitar Kuala Lumpur semalam, dan berjaya menahan tiga lelaki berumur antara 30 dan 45 tahun yang disyaki terlibat,” katanya dan menambah suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan khianat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda