Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Mayat Lelaki Ditemui Tergantung Dalam Rumah Kosong

By 7 Disember 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Satu mayat lelaki ditemui dalam keadaan tergantung dalam rumah kosong di dalam hutan Kampung Gombak Tengah Tambahan, Kilometer 10 Gombak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihak polis bersama anggota Bomba, forensik dan Unit Anjing Pengesan telah bergegas ke lokasi kejadian menjalankan siasatan selepas dimaklumkan orang awam pukul 10.50 pagi.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai rangka lelaki, bangsa tidak pasti memakai seluar jeans warna biru dan baju belang warna coklat putih dalam keadaan tidak sempurna.

“Bahagian tengkorak kepala berada di lantai dan bahagian badan masih tergantung dengan tali yang diikat pada kayu bumbung rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Arifai, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menjumpai apa-apa pengenalan diri mayat tersebut.

“Rumah tersebut adalah rumah yang telah ditinggalkan lama dan tidak diketahui pemiliknya selain tiada rumah lain yang berdekatan rumah tersebut.

“Siasatan awal tiada sebarang tanda adanya unsur jenayah dalam kejadian ini dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah mengambil sampel dari rangka untuk ujian Covid-19.

“Rangka manusia tersebut telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan post-mortem diperolehi,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Asisten Supritendan Syed Azizi Jamalullail Syed Abdul Aziz di talian 0361895222 atau 0123766220.

-NAZ

Tinggalkan komen anda