Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PLUS Jangka Trafik Meningkat 30 Peratus Semasa Krismas, Tahun Baharu

By 18 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Dis (Malaysiaaktif) – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengunjurkan aliran trafik meningkat hingga 30 peratus semasa cuti umum bersempena sambutan Krismas dan tahun baharu 2021 minggu depan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata bagi tempoh itu, dijangkakan jumlah trafik di lebuh raya utama meningkat hingga 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta pada hari biasa.

Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan antara 22 Dis hingga 19 Jan 2021 dan menggalakkan pengguna lebuh raya mengikutinya.

“Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

“Pengguna yang menuju ke lain-lain destinasi lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disaran memasuki lebuh raya selepas 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh sama, dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

PLUS katanya amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan disarankan itu bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat pada musim perayaan.

PLUS juga menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur kesihatan dan keselamatan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri serta memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara ketika ini.

Maklumat terkini boleh diperolehi menerusi aplikasi PLUS, Twitter @PLUSTrafik, interaksi secara digital di Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda