Laporan/foto: Mohd Rizal Abdul Rahman/Hasnol Hadi Hashim (Kulim)
LUNAS, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Kedah melalui beberapa agensi kerajaan Daerah Kulim hari ini mengagihkan bantuan Khas Kewangan kepada 2306 ketua isi rumah yang dikenalpasti berada di kawasan yang sebelum ini diistiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besarnya Mohammad Sanusi Md Nor, dalam sidang medianya sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM200 bagi setiap ketua isi rumah yang terlibat.
“Bantuan ini dilaksanakan secara bersemuka dan disampaikan secara terus dari rumah ke rumah.
“Antara agensi kerajaan yang terlibat adalah Pejabat Daerah Kulim, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Jabatan Penerangan Daerah Kulim dan lain-lain agensi,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kulim Abdul Bari Abdullah, berkata sebanyak 10 kumpulan dengan setiap kumpulan diwakili oleh empat orang petugas ditugaskan bagi melancarkan penyampaian bantuan ini.
“Kawasan yang terlibat dalam sumbangan kali ini adalah Taman Seri Limau, Taman Kangkong, Taman Kobis, Taman Cekur Manis, Taman Halia, Taman Bayam, Taman Bayam Indah dan Taman Sawi.
“Bantuan kewangan sebanyak RM200 diisi kedalam sampul yang disumbangkan oleh kerajaan negeri ke setiap rumah yang berpenghuni semasa PKPD dilaksanakan sebelum ini bagi meringankan beban kewangan penduduk yang terjejas akibat pelaksanakan PKPD tempoh hari.
“Bagi penghuni yang tiada di rumah semasa penyampaian dibuat akan ditinggalkan notis pemberitahuan dan perlu membuat tuntutan di Pejabat Daerah Kulim,” katanya yang ditemui ketika menyerahkan sumbangan di sekitar kawasan sini, di sini baru-baru ini.
Penerima bantuan Nanthinisri Sethuraman, 30, amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap penduduk Paya Besar dengan memberi bantuan kewangan ini.
“Sedikit sebanyak dapat menampung jumlah kewangan yang digunakan semasa PKPD tempoh hari,” katanya.
Seorang lagi penerima bantuan Almasuri Shuib, 56, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana memberi bantuan berupa wang ringgit ini.
“Sekarang ini ramai yang memerlukan sumber kewangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini, dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat menambah punca kewangan,” katanya.
-SH