Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Doa Si Penarik Beca

By 8 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Rozli Mohamad/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Ujian pandemik COVID-19 memberi kesan dan banyak impak yang besar dalam kehidupan seharian manusia malah dianggarkan hampir 100,000 pekerja di Malaysia hilang pekerjaan akibat penularan wabak ini.

Antara golongan yang turut diuji dengan ujian wabak ini ialah golongan penarik beca di sekitar Daerah Kuala Terengganu yang terkesan kerana ketiadaan pelanggan yang merupakan sumber pendapatan utama mereka.

Jelas terpampang wajah sugul para penarik beca di sekitar Pasar Payang ketika ditemui oleh pemberita Malaysiaaktif, pagi semalam bagi berkongsi pengalaman sepanjang pandemik melanda negara.

Penarik Beca, Hashim Omar, 68, berasal daripada Kampung Laut, menahan rasa sebak apabila menceritakan sepanjang pandemik COVID-19 setahun lalu, nasib mereka diuji apabila hilangnya sumber pendapatan kerana sukar mendapatkan pelanggan.

“Bayangkan ada ketikanya, saya dan rakan-rakan pulang dengan tangan kosong kerana tiada langsung pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan kami.

Hashim Omar, 68 tidak pernah putus asa dan berhenti berdoa agar wabak COVID-19 ini berlalu pergi supaya dapat mencari rezeki seperti sediakala.

Hashim Omar, 68 tidak pernah putus asa dan berhenti berdoa agar wabak COVID-19 ini berlalu pergi supaya dapat mencari rezeki seperti sediakala.

“Selama ini ramai pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan beca kebanyakannya merupakan pelancong dari luar negeri,” katanya.

Katanya, meskipun rasa sedih dengan keadaan ini, namun beliau tetap akan meneruskan kayuhan beca yang merupakan mata pencarian utama bagi menampung keperluan harian selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Tambah Hashim, beliau tidak pernah berputus asa dan berhenti berdoa agar wabak ini berlalu dan beliau serta rakan-rakan penarik beca dapat meneruskan pekerjaan mereka seperti sediakala.

Manakala bagi Abdullah Mohamad, 64, yang menetap di Kampung Ladang, Kuala Terengganu berpendapat biarpun sepanjang sewaktu tempoh PKP 2.0 kali ini hasil pendapatannya berkurangan namun jauh sekali untuk beliau berundur daripada pekerjaan ini.

“PKP amat mencabar bagi saya dan rakan-rakan sebagai penarik beca kerana kurangnya pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan kami.

Abdullah Mohamad,64 setia menanti pelanggan berhadapan Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Abdullah Mohamad,64 setia menanti pelanggan berhadapan Pasar Payang, Kuala Terengganu.

“Setiap pagi keluar dari rumah saya mengharapkan ada rezeki yang dibawa pulang dan saya juga berharap penduduk tempatan sudi mendapatkan perkhidmatan beca yang kian sepi dengan kehadiran pelanggan,” katanya.

Tambah Abdullah, kadangkala ada individu yang bersimpati dengan nasib penarik beca memberikan sumbangan berbentuk keperluan makanan asas dan beliau juga turut menerima sumbangan berkala daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Saya doakan pandemik ini akan berakhir secepat mungkin kerana sukar bagi kami, penarik beca mencari rezeki selagi COVID-19 masih berada di dalam komuniti.

“Kami juga berharap setiap masyarakat memberi kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan agar rantaian wabak tersebut dapat diputuskan,” katanya mengakhiri perbualan.

-ii-

Tinggalkan komen anda