Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan terus berusaha menyebarluaskan maklumat-maklumat yang penting bagi membantu masyarakat memerangi pandemik COVID-19.
Menurut pengarahnya Supian Musa, usaha-usaha tersebut akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai pendekatan antaranya melalui kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain.
“Hari ini kita bersama Polis Diraja Malaysia melaksanakan program edaran bahan penerbitan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai SOP terkini DNA norma baharu dalam mengahadapi COVID-19.
“Selain membuat hebahan melalui Info on Wheels (IoW), kita juga menggunakan bahan-bahan penerbitan JaPen bagi memberi kepada masyarakat gambaran bahawa SOP ini bukannya ingin membebankan tetapi hanya untuk memerangi COVID-19 itu sendiri,” katanya semasa ditemui selepas membuat edaran bahan penerbitan JaPen di Sekatan Jalan Raya Jalan Tun Mustapha, di sini semalam.
Dalam program tersebut turut diedarkan bahan penerbitan mengenai Proklamasi Darurat bagi memberi pemahaman kepada rakyat tentang tujuan serta kepentingan darurat itu dilaksanakan dalam suasana pandemik COVID-19.
Sementara itu, menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan DSP Mohd Ibrahim Ghani, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan yang lebih tegas selepas ini.
“Kita mohon warga Labuan untuk terus mematuhi SOP lebih-lebih lagi selepas banyak sektor perniagaan yang dibenar beroperasi semula.
“Setakat semalam kita telah keluarkan 163 kompaun dan kebanyakannya kesalahan beriadah atau berada di tepi pantai tanpa tujuan, nasihat saya elakkan berada di tepi pantai tanpa tujuan kerana pasukana pemantau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun.
“Premis-Premis perniagaan yang telah dibenarkan beroperasi juga katanya diingatkan untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang masa seperti menyediakan alat pengimbas suhu, aplikasi MySejahtera dan cecair pembasmi kuman,” katanya yang turut ditemui pada program semalam.
Terdahulu, JaPen Labuan telah menyerahkan bahan-bahan penerbitan berkaitan kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan (JKM) Ansharey Matarsad untuk dimasukkan ke dalam pek bantuan bakul makanan yang diselaraskan oleh JKM Labuan.
-SH