Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Kucing Jalanan Terbela, Dijaga Sewaktu PKP

By 4 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan utama Dungun ke Kemaman pasti akan menyedari Rumah Kucing Dungun yang terletak di Taman Rimba Bukit Bauk yang menjadi tempat penjagaan bagi kucing jalanan yang dijumpai sepanjang operasi oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

Menurut Pembantu Awam MPD Nor Haimi Salim, 46, sebelum ini penempatan kucing jalanan dibuat di Teluk Lipat dekat Sura namun lokasi tidak lagi sesuai untuk kucing ini dan dipindahkan ke sini.

“Kewujudan Taman Kucing Dungun adalah satu inisiatif oleh MPD untuk memastikan kawasan tumpuan awam di daerah ini bebas daripada gangguan binatang comel ini seperti di kedai makan, pasar dan kawasan peranginan dan dalam masa yang sama memastikan haiwan yang hidup berkeliaran ini di jaga dengan rapi.

Rumah Kucing Dungun di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun.

Rumah Kucing Dungun di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun.

“Terdapat lebih 100 ekor kucing dijaga di dalam taman tersebut dan terdapat lima sangkar pengasingan disediakan mengikut kategori kesihatan haiwan iaitu Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Unit Kucing Bahagia, Unit Keluarga Bahagia serta Wad Rawatan Ibu dan Anak,” katanya yang ditemui di taman tersebut, di sini baru-baru ini.

Nor Haimi menunjukkan salah seekor kucing jalanan di sini yang jinak dan manja.

Nor Haimi menunjukkan salah seekor kucing jalanan di sini yang jinak dan manja.

Nor Haimi, berkata walaupun sekarang negara dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 menyebabkan tiada pengunjung yang datang, namun kebajikan dan kesihatan kucing-kucing tetap dijaga sebaiknya tambahan pula mereka sangat jinak.

Suasana di tempat penjagaan.

Suasana di tempat penjagaan.

“Rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan kucing dilakukan secara berkala dan sekiranya perlu, mereka akan dirawat dan diberi suntikan oleh kakitangan Pejabat Veterinar Daerah Dungun,” katanya.

Seorang lagi petugas di taman tersebut Mohamad Abdullah, 57, berkata kucing yang sihat kembali aktif akan dibiarkan bebas di taman tersebut sebagaimana habitat asal mereka dan mereka akan kembali masuk ke sangkar pada waktu petang.

Mohamad Abdullah, 57, petugas di Taman Kucing Dungun.

Mohamad Abdullah, 57, petugas di Taman Kucing Dungun.

“Saya berharap Taman Kucing Dungun akan kembali dikunjungi oleh pencinta kucing dan Taman Rimba Bukit Bauk sebagai destinasi pilihan untuk beriadah apabila pandemik berakhir kelak,” katanya.

Tinggalkan komen anda