Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Majoriti pengusaha dan pemilik pusat cucian kereta di daerah ini memohon pertimbangan kerajaan agar memberi kebenaran dan kelonggaran untuk mereka menjalankan semula operasi perniagaan yang ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
seorang emilik pusat cucian kereta Malik Mohd Noor, 37, berkata beliau terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000 sejak PKP 2.0 dikuatkuasakan bermula 13 Januari lalu.
“Sejak PKP 2.0 dikuatkuasa, saya terpaksa menanggung kerugian berterusan kerana saya perlu menutup keseluruhan operasi kedai dan dalam masa yang sama perlu membayar kos sewa tempat dan gaji pekerja seramai tiga orang.
“Bukan itu sahaja, pengumuman oleh kerajaan mengenai perlanjutan PKP 2.0 sehingga 18 Februari depan sangat mengkhuatirkan saya dan keluarga kerana sekiranya kami tidak dapat menjalankan operasi seperti biasa berkemungkinan besar perniagaan ini akan gulung tikar,” katanya ketika ditemu ramah, di sini semalam.
Menurut Mohd Noor, beliau perlu membayar sewaan pusat cucian berkenaan sebanyak RM500 sebulan dan dalam masa yang sama perlu membayar gaji pekerja meskipun tidak beroperasi sepanjang PKP 2.0.
“Sewaan dan gaji pekerja perlu dilangsaikan meskipun perniagaan ditutup sepenuhnya serta kos operasi seharian seperti sabun, pewangi kereta dan sebagainya yang dipesan daripada pengedar perlu dibayar mengikut perjanjian sebelum ini,” katanya.
Mohd Noor berkata, meskipun menyedari kes positif harian yang meningkat saban hari, namun beliau tetap mengharapkan agar pusat mencuci kenderaan dapat diberi kelonggaran untuk beroperasi mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sementara itu, pekerja di pusat mencuci kereta lain Md Shahim Miak, 29, berkata beliau serta 12 pekerja yang lain di pusat berkenaan tidak dibayar gaji sepanjang PKP 2.0 berlangsung.
“Semua pekerja di pusat ini tidak menerima sebarang gaji kerana perniagaan tidak beroperasi menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat dengan saling bekerjasama dengan pekerja lain berkongsi makanan sesama sendiri.
“Jika penguatkuasaan PKP 2.0 dilanjutkan dengan lebih lama, pekerja seperti kami akan terbeban dan bakal kehilangan pekerjaan sekiranya pusat mencuci ditutup sepenuhnya kerana tidak mampu lagi bertahan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam kenyataan media berkata bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sepatutnya berakhir pada hari ini disambung sehingga 18 Februari depan dan kerajaan sedang meneliti setiap rayuan daripada peniaga yang memohon supaya mereka dibenarkan beroperasi semula antaranya perniagaan cuci kereta, kedai gunting rambut dan pelbagai lagi.
-ii-