Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Nian Gao Jana Pendapatan Lumayan Wanita Melayu

By 15 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zurina Saad (Yan)

YAN, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Kuih bakul atau lebih dikenali sebagai ‘Nian Gao’ merupakan sejenis makanan tradisi masyarakat Tionghua yang wajib dihidangkan ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Kuih manis yang agak kenyal itu sangat enak dan turut digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Menyedari hakikat itu, Izzainiza Zarini Ismail, 46, dari Pekan Yan Kechil telah mengambil inisiatif menyediakan kuih bakul secara besar-besaran sejak enam tahun lalu yang dijamin halal namun masih mengekalkan cara penyediaan secara tradisonal.

Pada tahun ini tempahan yang diterima mencecah 10 ribu biji termasuk dari Sabah dan Sarawak menjelang sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Pada tahun ini, saya banyak menerima tempahan secara dalam talian dan kebanyakkan adalah dalam kalangan masyarakat Melayu di sekitar Daerah Yan ini.

“Agak sukar untuk menyediakan kuih ini memandangkan terdapat banyak pantang larang sepanjang penyediaannya seperti tidak boleh marah-marah sebaliknya perlu menjaga adab sopan ketika membuatnya bagi memastikan kuih ini lebih sedap dan tahan lebih lama,” katanya yang ditemui di premis perniagaannya, di sini baru-baru ini.

Kuih bakul akan dikukus selama 12 hingga 16 jam sebelum siap dimasak.

Kuih bakul akan dikukus selama 12 hingga 16 jam sebelum siap dimasak.

Menurut Izzainiza, beliau dibantu oleh enam orang pekerja dan mendapat tunjuk ajar daripada seorang peniaga Cina tempatan.

“Bagi menghasilkan kuih bakul ini, bahan-bahan utama yang diperlukan adalah seperti tepung pulut, gula kasar, gula merah dan air.

“Kesemua bahan-bahan ini dicampur dan digaul menjadi adunan selama kira-kira 30 minit atau sehingga gula itu larut, sebelum dibiarkan selama 30 minit lagi untuk adunan itu sejuk dan sebati sebelum diisi dalam balutan daun pisang.

“Langkah ini perlu bagi mengelakkan adunan itu berbuih dan tidak rata selepas dikukus dan adunan perlu diletakkan ke dalam bekas sebelum dikukus selama 12 hingga 16 jam untuk menghasilkan kuih bakul yang enak,” katanya.

Harga kuih bakul yang dijualnya di antara RM10 hingga RM15 mengikut saiz, dan beliau kini mampu tersenyum dengan hasil pendapatan yang diraihnya apabila tibanya musim perayaan sambutan Tahun Baharu Cina dan berhasrat untuk mengembangkan lagi perusahan beliau di luar musim perayaan.

Tinggalkan komen anda