Laporan/foto: Nasrul Abdul Hamid/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Golongan peniaga pasar malam menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan kebenaran untuk beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan di tapak pasar malam Pekan Rembau melihatkan para peniaga mula membuka perniagaan mereka dengan pematuhan SOP yang lebih ketat dipantau oleh penguatkuasa Majlis Daerah Rembau.
Menurut salah seorang peniaga Yazid Ahmad, 46, beliau menyifatkan kebenaran operasi pasar malam sedikit sebanyak dapat menyambung mata pencarian mereka.
“Saya amat bersyukur dengan pengumuman oleh Kerajaan atas kebenaran pengoperasian semula pasar malam, ia sememangnya dapat menambah pendapatan saya dalam tempoh pelaksanaan PKP ini,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Seorang lagi peniaga makanan, Azri Mohd, 20, berkata beliau amat bersyukur dengan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan.
“Sejak pengumuman yang dibuat oleh kerajaan tempoh hari, saya berasa amat bersyukur kerana dapat bekerja dengan majikan saya untuk membuka gerai di tapak pasar malam ini,” katanya.
-AK