Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohamed/Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 8 Feb (Malaysiaktif) – Bagi memastikan pelajar sekolah di pinggir bandar dapat menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) dengan lebih selesa, Pusat Internet Komuniti (PIK) Felda Belara mengambil inisiatif menyediakan tempat khusus untuk ibu bapa atau keluarga yang tidak berkemampuan menyediakan peralatan gajet untuk anak-anak mengikuti kelas secara dalam talian di rumah.
Walaupun kaedah PdPR ini mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sebelum ini, PIK menjadi pilihan alternatif bagi ibu bapa untuk mengelakkan anak-anak mereka terus tercicir sejak sesi persekolahan ditangguhkan ekoran penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Pengurusnya Mariani Mamat, 39, berkata pusat internet yang beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali pada cuti umum sememangnya memudahkan para pelajar untuk mengakses internet dengan mudah dan cepat dan berkomunikasi secara dalam talian bersesuaian dengan konsep PdPR.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, PIK mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di mana pelajar sentiasa diminta membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman di sediakan selain perlu melakukan ujian suhu badan serta sentiasa memakai pelitup muka ketika mengikuti sesi PdPR di sini,” katanya ketika ditemui di PIK Felda Belara, semalam.
Adam Danial Muhammad Khairul, 11, pelajar dari Sekolah Kebangsaan LKTP Belara berkata masalah rangkaian internet yang lemah di rumahnya menyebabkan ibu bapa mengambil keputusan untuk menghantarnya ke PIK sebagai lokasi untuk mengikuti sesi PdPR di sini.
Menurutnya lagi, penggunaan komputer juga lebih sesuai dan memudahkannya untuk mencetak nota dan kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru berbanding menggunakan telefon pintar yang bersaiz agak kecil.
Manakala Sarah Zulaikha Muhammad Khairul, 7, pula tidak ketinggalan menggunakan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan di sini dengan mengikuti pembelajaran dalam talian dan menganggap sesi PdPR sebagai pengalaman baru yang menyeronokkan.
“Walaupun agak sukar untuk memahami sesetengah subjek yang dipelajari, namun dengan bantuan ibu saya yang turut dalam sesi pembelajaran, masalah tersebut dapat diatasi dengan mudah,” katanya.
Sejak diwujudkan, PIK di sini banyak membantu memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan mencetak nota, fotokopi, mengimbas, dan juga kelas-kelas seperti komputer, usahawan, video serta lain-lain lagi turut disediakan.